Disember 26, 2024

JOHOR BAHRU, 9 Sept. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Program Konvoi Merdeka UTM 2023 sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023.

Konvoi bermula dari UTM Johor Bahru dan berakhir di Penghujung Selatan Tanah Besar Asia, Tanjung Piai, Pontian, Johor, disertai oleh lebih 341 orang peserta melibatkan 134 buah motosikal berkuasa tinggi (dengan 50 buah daripadanya terdiri daripada penunggang wanita), 57 buah kenderaan bernombor pendaftaran khas “UTM”, 25 buah kenderaan bernombor pendaftaran umum, dan 125 orang pendamping peserta dan urus setia.

Inisiatif murni ini digerakkan oleh Unit Endowmen UTM dengan kerjasama UTM Plate Owner Club (UTM POC), UTM Marshall, Horsemen MG, Lady Bikers Johor, Gabungan Kelab Bikers Wanita dan Perbadanan Taman Negara Johor.

Sementara itu, Naib Canselor UTM, YBhg. Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail memuji inisiatif penganjuran program ini dalam menyemarakkan lagi semangat patriotisme warga UTM.

“Saya rasa ini merupakan satu pencapaian atau sokongan terbaik yang pernah dizahirkan (sempena sambutan bulan kemerdekaan peringkat UTM). Sekali gus, ia menjadi satu suntikan semangat yang begitu besar buat kami warga UTM.

“Kita buat program seumpama ini bukan semata-mata untuk meraikan bulan kemerdekaan sahaja. Inisiatif seperti ini boleh dilaksanakan bergantung kepada suasana yang hendak kita raikan. Ia boleh menjadi daya penarik kepada masyarakat sekitar terutama warga UTM itu sendiri.

“Saya harap usaha ini juga dapat menarik minat pelajar UTM, dalam meningkatkan lagi jati diri di samping membuktikan semangat cinta akan negara dalam kalangan mereka.

Dalam masa yang sama, Pengarah Endowmen yang juga Pengarah Program Konvoi Merdeka UTM 2023, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Robiah Hj. Suratman mengharapkan agar acara ini mampu memperkukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan rakyat dan masyarakat.

“Konvoi ini merupakan acara yang istimewa dalam menzahirkan semangat patriotisme bersempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-66. Ia juga menjadi platform dalam merapatkan ukhuwah dan memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Penganjuran konvoi ini juga turut menjadi wadah dalam mempromosikan nombor plat pendaftaran khas ‘UTM’ untuk dimiliki, sekali gus menarik minat masyarakat menjadi ahli keluarga besar UTMPOC.

Pelepasan konvoi ini disempurnakan oleh Datuk Ahmad Fauzi tepat jam 9.30 pagi. Turut hadir bersama dalam acara pelepasan ialah Pengerusi Bahagian Pemajuan, Prof. Madya Dr. Yusof Boon.

Datuk Ahmad Fauzi menyempurnakan pelepasan peserta Konvoi Merdeka UTM 2023.

Para peserta konvoi tiba di tapak Penghujung Selatan Tanah Besar Asia, Tanjung Piai, Pontian, pada jam 11.30 pagi.

Ketibaan para peserta konvoi di Tanjung Piai disambut oleh Encik Taufik Bahar, Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor.

Peserta konvoi bergerak keluar dari UTM Johor Bahru menuju Tanjung Piai.

Dalam program ini turut disampaikan bantuan berbentuk barang keperluan asas dan wang tunai kepada 10 orang asnaf di Tanjung Piai.  Bantuan barang keperluan asas dan wang tunai adalah hasil sumbangan peserta konvoi dan masyarakat yang prihatin.

Selain itu, para peserta konvoi turut bersama-sama melakukan aktiviti plogging di sekitar Taman Negara Johor, Tanjung Piai.

Peserta konvoi menzahirkan semangat patriotik dengan mengibarkan Jalur Gemilang.

Explore More