Disember 19, 2024

Kolokium Makmal Satelit Siri 5 dan Cerapan Astronomi Langit Malam Perkukuh Hubungan FABU-JTS Sarawak

SKUDAI, 24 Ogos – Program Geoinformasi, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), UTM dengan kerjasama Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak telah menganjurkan sesi Kolokium Makmal Satelit FABU, UTM-Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak Siri 5 serta program Cerapan Langit Malam.

Program kolokium siri ke-5 ini yang berlangsung di Bilik SCALE, FABU telah disertai oleh lima puluh (50) orang delegasi daripada JTS Sarawak dan tiga puluh (30) orang daripada pensyarah, kakitangan dan pelajar FABU. Sebanyak sepuluh (10) kertas pembentangan telah dibentangkan oleh 3 orang pegawai JTS dan 7 orang pensyarah FABU.

Sesi pembukaan kolokium telah dirasmikan oleh Profesor Sr Dr. Kherun Nita Ali, Dekan FABU dan ucapan aluan juga telah disampaikan oleh Profesor Madya Sr Dr. Tajul Ariffin Musa, Pengarah Geoinformasi. Delegasi jemputan JTS diketuai oleh Tuan Awang Zamhari bin Awang Mahmood, Timbalan Pengarah (Pengurusan), JTS Sarawak dan dalam ucapan pembukaan beliau telah menjelaskan tentang halatuju JTS Sarawak ke arah penyimpanan karbon bagi kawasan marin.

Tiga orang pembentang dari JTS Sarawak adalah Tuan Awang Zamhari bin Awang Mahmood, Timbalan Pengarah (Pengurusan), JTS Sarawak, Sr Norlina binti Ra’ee, Penolong Pengarah (Penilaian) dan Tuan Marcus Angie Patrick, Jurutera Kanan. Manakala  tujuh (7) orang pembentang dari FABU adalah Dr. Salfarina binti Samsuddin, pensyarah kanan (Harta Tanah); Prof. Madya TPr Dr. Siti Hajar binti Misnan, Pengarah (Perancang Bandar dan Wilayah); Prof. Madya Dr. Rohaya binti Abdul Jalil, pensyarah kanan (Harta Tanah); Dr. Aimi Sara Ismail, pensyarah kanan (Ukur Bahan); Prof. Madya Dr Muhammad Zulkarnain Abd Rahman, pensyarah kanan (Geoinformasi); Dr. Nurul Diyana binti Md Khairi, pensyarah kanan (Perancang Bandar dan Wilayah) dan Sr Dr. Kelvin Tang Kang Wee, pensyarah kanan (Geoinformasi). Walaupun sesi kolokium ini menetapkan masa yang singkat bagi setiap pembentang, namun sesi soal jawab berkaitan kajian terkini bagi bidang masing-masing tetap berlangsung dengan penuh sambutan oleh para hadirin.

Di samping itu, delegasi jemputan yang juga telAh dibawa melawat ke Makmal Ukur Kejuruteraan dan Kadaster (UKK), Makmal Satelit Forensik Geospatial (MSFG) UTM-PDRM dan Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (KALAM) serta sekitar lokasi-lokasi tarikan utama di UTM antaranya fakulti-fakulti, kolej-kolej kediaman pelajar, Stadium UTM dan sekitar Perpustakaan Raja Zarith Sofea.

Pada sebelah petang, delegasi jemputan telah dibawa berkumpul di Balai Cerap, UTM untuk program Cerapan Langit Malam yang melibatkan aktiviti cerapan bintang. Sesi taklimat berkenaan cerapan telah disampaikan oleh Sr Dr. Othman Zainon, pensyarah kanan (Geoinformasi). Delegasi jemputan amat bertuah pada sesi tersebut kerana telah dapat mencerap planet Zuhal dan beberapa jenis bintang. Bersempena dengan sambutan bulan Kemerdekaan, sesi deklamasi sajak berkisar tentang kemerdekaan telah diadakan sebagai selingan aktiviti cerapan bintang. Seramai dua orang wakil JTS Sarawak iaitu Encik Helmy bin Hamzah dan Puan Norlizawati binti Hipani, manakala Dekan FABU dan Pengarah Geoinformasi masing-masing telah mendeklamasikan sajak pada sesi tersebut.

Melalui sesi kolokium dan cerapan astronomi ini, beberapa halatuju dan penyelesaian terbaik antara pihak agensi dan akademik berkenaan keperluan semasa pihak JTS dapat dikenalpasti serta memberi peluang kepada delegasi jemputan untuk merasai pengalaman cerapan bintang.

Explore More