April 30, 2024

Search
Close this search box.

Dua pelajar praktikal UTM jadi tunjang akar umbi pembangunan bola sepak Johor

SKUDAI, 3 Sept. –  Sebanyak 18 pasukan dari pelbagai negeri di bawah tiga kategori iaitu pemain berusia bawah 8 tahun, bawah 11 tahun dan bawah 12 tahun telah bertanding untuk merebut gelaran juara Piala EQ Print anjuran bersama ADUN Taman Sri Skudai, Ahli Majlis Bandaraya Iskandar Puteri En. Loh Woei Der, dengan kerjasama rakan strategik Bijak Education Sdn Bhd, dengan kolaborasi daripada dua pelajar praktikal dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) iaitu Norazri Bin Nordin dan Muhammad Yasseer Zaidan Bin Yuhadli sebagai Urusetia Kejohanan, sokongan daripada Pengadil Persatuan Bola Sepak Negeri Johor serta pihak NGO yang lain.

Piala EQ Print dikuasai oleh pasukan dari Johor iaitu Perdana United FC di dalam dua kategori iaitu bawah 11 tahun dan bawah 12 tahun yang telah menyapu kejuaraan di dalam dua kategori yang dipertandingkan manakala wakil tunggal pasukan dari Selangor iaitu Husel FA pula yang telah menjuarai kejuaraan bagi kategori bawah 8 tahun.

Presiden Kelab Bola Sepak EQ Rich, Muhamad Arif Bin Abu Bakar berkata, Piala EQ Print yang dianjurkan ini bertujuan untuk membuka peluang kepada anak-anak cilik menggunakan kemahiran yang telah dilatih dan dipraktikkan semasa beraksi di dalam situasi perlawananan sebenar agar mencapai sasaran objektif yang telah diletakkan.

“Objektif yang telah ditetapkan seperti menyediakan satu platform kepada masyarakat bagi menyertai sukan bola sepak yang berintensiti tinggi. Selain itu, untuk memastikan sukan sebagai salah satu agen perpaduan antara kaum, budaya dan bangsa serta menjadi tarikan lagi kepada penglibatan pelatih di dalam sukan”.

Diharapkan dengan jumlah pemain yang mencapai 270 orang ini menjadi lonjakkan kepada persatuan bola sepak akar umbi dalam mencorakkan pertandingan dalam memberikan peluang dan pengalaman kepada pemain-pemain.

Program ini telah mendapat sambutan bukan sahaja dari kalangan penggiat sukan bola sepak bahkan semangat kesukanan ini terlihat dapat dipupuk dikalangan penduduk.

Penganjuran liga seperti ini sangat baik dalam konteks pembangunan bola sepak kerana ia bermula dengan pendedahan di peringkat kanak-kanak lagi. Akar umbi kini terlihat menjadi platform dalam melahirkan aset yang berkualiti dan berbakat untuk mewakili negara pada masa hadapan.

Perdana United FC menjuarai dua kategori iaitu bawah 11 tahun dan bawah 12 tahun – Piala EQ Print

 

 

Explore More