Disember 19, 2024

JOHOR BAHRU, 3 Sept. – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengulas bahawa Universiti merupakan tempat menimba ilmu dalam bidang-bidang khusus tertentu (field of specialization) yang kian berkembang.

Namun, disebabkan tuntutan zaman, Universiti perlu lebih ke hadapan dalam meneroka bidang-bidang ilmu yang baharu untuk diterapkan dalam pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan.

YAB Perdana Menteri melihat dan meneliti produk hasil inovasi penyelidik-penyelidik UTM.

Beliau turut merungkai bahawa pendidikan dilihat mempunyai hubungan langsung dengan Madani dan Manusiawi. Dengan pendidikan, seseorang insan akan menerapkan Nilai dan Akhlak, sekali gus menganggap diri sebagai amanah daripada Allah SWT.

Nilai dan Akhlak Membentuk Manusiawi

“Darjat manusia diangkat bukan kerana hartanya, ilmunya, mahupun ketrampilannya. Tetapi adalah kerana Nilai dan Akhlak yang diterapkan. Ilmu satu kemestian.

“Sebagaimana dalam Naratif Ekonomi Madani yang baharu sahaja diluncurkan, kita mengangkat semula Malaysia sebagai negara hebat dalam bidang ekonomi, kelimuan, kepakaran, kemahiran dan ketrampilan.

YAB Perdana Menteri bersama Tuan Sayed Munawar Sayed Mustar selaku moderator di pentas Temu Anwar Johor Bahru.

“Apa beza kita dengan negara-negara lain? Kita mahu tegak pada paksi dan pengkalan sebagai manusia.Ukurannya itu masih pada Nilai Kemanusiaan yang inginkan perubahan (ke arah kebaikan).

Enough of racism, enough of corruption, enough of ignorance and religious bigotry in this country, because we have to move as a great nation.

Memaknai Kemerdekaan

“Dalam suasana sambutan kemerdekaan yang masih lagi segar, apa yang penting adalah memaknai kemerdekaan itu. Bukan sekadar slogan yang ampuh. Bukan sahaja pengucapan yang lunak. Kerana negara sudah merdeka, namun sistem itu apakah benar-benar bebas dan merdeka?

YAB Perdana Menteri ketika mengulas dan menjawab soalan sewaktu sesi Temu Anwar Johor Bahru.

“Mengapa nenek moyang kita lawan penjajahan dan kuasa asing? Kerana mereka memaksa, memperhambakan, memperbodohkan rakyat dan mengutip hasil sewenang-wenangnya untuk memperkayakan diri mereka dan negara mereka, manakala rakyat kita terpinggir dan miskin.

Peranan Generasi Muda

“Kita perlukan generasi muda yang kritikal dan kritis. Kalau anak-anak mahasiswa mahu menegur Pengurusan Universiti malah Pimpinan Negara sekalipun, silakan.

“Buatlah dalam bentuk Speaker’s Corner (Sudut Pidato), dialog dan sebagainya. Cuma, jangan hina orang, jangan cerca kaum, jangan hina agama lain.

“Suara-suara generasi muda terutama mahasiswa inilah yang membawa kepada pelaksanaan dasar-dasar Kerajaan seperti pengiktirafan Tingkatan 6 sebagai Kolej Pra-Universiti, dan bayaran elaun latihan industri yang setimpal.

“Universiti harus menjadi tempat di mana anak-anak dilatih berfikir sebagai manusia. Bukan ‘sacred cows’ (institusi atau individu kalis kritikan).

Memetik tulisan Ivan Illich, seorang pemikir dalam bukunya Deschooling Society (1971), Perdana Menteri mengingatkan Universiti untuk tidak melahirkan generasi ‘sacred cows’:

You go to the best school, with the best library and laboratories but you create sacred cows. Unthinking, not creative and not critical.

Agenda Pemerkasaan Mahasiswa

Perdana Menteri turut ditanyakan mengenai komitmen Kerajaan dalam meluncurkan agenda pemerkasaan mahasiswa terutama dalam memastikan kemandirian mahasiswa terutama dalam perkara-perkara seperti pengurusan kewangan dan peluang perniagaan.

Antara mahasiswa yang diberikan peluang bertanyakan soalan kepada YAB Perdana Menteri.

“Agenda pemerkasaan mahasiswa ini sememangnya mendapat dukungan kita. Tugas utama mahasiswa adalah memastikan kecemerlangan dalam akademik. Namun, kita hendak melahirkan manusia.

“Oleh yang demikian, isu profesionalisme dan ketrampilan, pendedahan kepada pengalaman-pengalaman perniagaan dan peluang pekerjaan itu perlu. Sebab itu kita galakkan dan perluaskan program -program seperti latihan industri.

“Saya juga berpandangan bahawa pendidikan itu tidak seharusnya kita compartmentalized (asingkan atau pisahkan) sebagai satu disiplin yang terlalu terbatas.

Dalam sistem pendidikan, jika kita terlalu terikat dengan specialization (bidang pengkhususan), minda kita tidak akan terbuka dengan disiplin-disiplin ilmu yang lain. Luaskan skop kita dalam menimba ilmu.

Menoktahkan Kemiskinan, Golongan OKU Tidak Dilupakan

Perdana Menteri juga turut diminta untuk mengulas peluang pekerjaan orang kurang upaya (OKU) dalam sektor awam, memandangkan 80 peratus OKU tergolong dalam kategori miskin, di samping peruntukan kuota satu peratus peluang pekerjaan sektor awam kepada golongan ini di setiap kementerian (berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2008).

Namun, sehingga Disember 2022, hanya empat kementerian sahaja yang berjaya mencapai dan memenuhi kuota tersebut.

Dr. Ruzimi Mohamed, Ikon OKU UTM bertanyakan soalan berkenaan peluang pekerjaan dan kemasukan ke TVET bagi OKU kepada YAB Perdana Menteri.

“Saya setuju. Saya akan bawa (isu ini) dalam masyarakat jemaah menteri.

Selain itu, beliau turut ditanya mengenai kajian mekanisme pengambilan OKU ke program TVET.

“Bagi isu pengambilan OKU ke program TVET pula, saya akan bawa ke Majlis TVET Negara yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri. Walaupun ada kelonggaran untuk OKU, tetapi janganlah kenakan syarat seperti dua tangan. Syaratnya mesti yang ada keupayaan. Insya Allah, ini boleh (dilaksanakan).

Dato’ Seri Anwar berkata demikian dalam Program Temu Anwar Johor Bahru di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru.

YAB Perdana Menteri menyantuni hadirin yang tidak melepaskan peluang mengambil gambar kenangan.

Kedatangan Dato’ Seri Anwar buat julung kalinya ke UTM sebagai Perdana Menteri mendapat sambutan hebat dengan kehadiran seramai 4,000 orang, terdiri daripada mahasiswa dan staf UTM, pelajar Tingkatan 6, penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG) dan pelajar Kolej Matrikulasi.

Hadir bersama dalam program ini adalah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Tan Sri Azman Hj Mokhtar; Naib Canselor UTM, Prof. Ir. Ts Dr. Ahmad Fauzi Ismail dan barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTM.

Explore More