Julai 27, 2024

Search
Close this search box.

Anaquin antara pilihan terbaik bagi produk penjagaan kulit dan kesihatan diri

Produk kecantikan dan penjagaan tubuh yang selamat dan berkesan sudah pasti menjadi aspek penting bagi semua orang. Malahan, tiada siapa pun yang mahu berbelanja ke atas produk yang mendatangkan lebih banyak kemudaratan daripada kebaikan.

Keselamatan suatu produk kecantikan adalah pertimbangan paling utama jika anda ingin memaksimumkan manfaat pilihan produk kecantikan anda.

Mengulas berkenaan dengan perkara ini, Pejabat Strategi dan Hal Ehwal Korporat (OSCA) telah mewawancara Prof. Madya Dr Liza Md Salleh, pensyarah dan penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Tenaga. Beliau merupakan ketua projek bagi projek kecantikan yang dinamakan Anaquin, satu produk kecantikan yang dihasilkan melalui ekstrak nenas secara penggunaan air bagi menggantikan proses pengekstrakan konvensional yang menggunakan bahan pelarut berasaskan kimia.

Berikut adalah butiran wawancara yang dijalankan di pejabat syarikat hiliran Universiti Teknologi Malaysia (UTM), HA Southern yang dikendalikan olehnya.

UTM Newshub: Apakah sebenarnya produk Anaquin yang telah dibangunkan?

Dr. Liza: Produk Anaquin adalah produk penjagaan kulit/kecantikan dan kesihatan yang dibangunkan melalui proses pengekstrakan buah nenas menggunakan kaedah pengekstrakan hijau mesra alam, pengekstrakan sub-genting (subwater critical extraction) berasaskan air. Proses ini menggantikan kaedah konvensional yang menggunakan bahan pelarut berasaskan bahan kimia seperti alkohol.

Selain tidak berbahaya kepada kesihatan berbanding produk yang dihasilkan melalui kaedah konvensional, produk ini juga diperkayakan dengan Vitamin C yang amat diperlukan bagi penjagaan kulit.

Enzim bromelin juga terdapat di dalam hasil ekstrak membantu bagi memberikan kesan sebagai anti-oksidan, anti penuaan (anti-ageing) dan juga anti-radang.

Produk ini terdiri dari pencuci muka (Cleanser), Ubat semburan kulit muka (Face Mist), Serum Kulit, Gel Mandian Anaquin (Shower Gel) dan juga makanan kesihatan untuk membantu  penjagaan kesihatan terutama sistem pencernaan dan kulit.

UTM Newshub: Bolehkah Dr kongsikan kebaikan menggunakan set penjagaan kulit dan kesihatan Anaquin?

Dr. Liza: Produk Anaquin dihasilkan melalui proses pengekstrakan ini hanya menggunakan buah nenas jenis Morris dan Josephine yang juga untuk membantu golongan petani nenas B40, kerana harganya amat murah di pasaran namun khasiat nenas ini masih tinggi. Dengan cara menghasilkan produk nenas bernilai melalui teknologi mesra alam ini, Pihak Dr Liza mengharapkan ianya akan membantu meningkatkan permintaan terhadap 2 jenis nenas ini secara tidak langsung membantu meningkatkan pendapatan golongan petani nenas B40.

Produk ini telah menerima pengiktirafan dari pelbagai pihak seperti Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) melalui cap dagang  Anaquin pada 22 Ogos 2022 di samping daripada SIRIM, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga Nano Verify Sdn. Bhd. Produk juga telah mendapat pengiktirafan dengan memenagi pingat emas didalam Malaysian Technology Expo (MTE) 2023 yang di adakan di Pusat Perdagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

UTM Newshub: Bolehkah Dr kongsikan sedikit latar belakang Anaquin?

Dr. Liza: Produk Anaquin dibangunkan pada tahun 2020 dengan geran penyelidikan berjumlah RM1.2 juta pemberian Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).  Antara tenaga pakar yang terlibat dalam pembangunan produk ini adalah Prof. Madya Dr. Liza Salleh (Ketua Projek), Dr Mariani Abdul Hamid, Dr. Siti Mariam Firdhaus Mat Nordin dan Dr Siti Paulina Mohd Bohari.

Selain KKM, produk ini juga mempunyai sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan halal untuk digunakan oleh pengguna Islam.

Tidak sepertimana produk kecantikan lain, produk Anaquin ini bebas hidroquinone, merkuri dan paraben.  Ketiga-tiga unsur ini terbukti merosakkan kulit jika digunakan dalam masa tertentu.

Amat penting bagi pengguna untuk mengetahui butiran produk kecantikan yang mereka gunakan agar pengguna boleh membuat pilihan yang betul bila membeli produk. Ini dapat mengawal sebarang perkara yang memudharatkan jika tersalah memilih produk.

UTM Newshub: Apakah langkah terbaik buat pengguna dalam memilih atau menggunakan produk penjagaan kulit?

Pengguna haruslah bijak dalam menentukan produk yang bakal digunakan kerana ianya akan memberikan kesan kepada tubuh badan mereka sendiri.  Golongan ini seharusnya mempunyai ilmu pengetahuan bagi mengambil tahu bagaimana sesuatu produk itu dibangunkan. Pengguna juga di nasihatkan agar tidak terpedaya dengan kesan segera yang dijanjikan oleh pengeluar produk penjagaan kulit, kerana dikuatiri itu hanyalah satu teknik pemasaran sahaja.

Golongan pengguna juga mempunyai hak untuk diberikan pemakluman berkenaan dengan pengiktirafan produk dan juga sebarang pengiktirafan saintifik yang berkenaan dengan produk berkenaan bagi membolehkan pengguna ini mengambil sebarang tindakan sekiranya terjadi sesuatu kelak di masa hadapan. Ini juga perlu bagi pengguna mengetahui apakah hak mereka sebagai pengguna.

 

 

 

Set penjagaan kulit Anaquin.
Dr Liza Salleh bergambar dengan produk penjagaan kulit yang dibangunkannya.

 

Explore More