JOHOR BAHRU, 3 Ogos – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Uni-Technologies Sdn Bhd (anak syarikat milik penuh UTM) bersama dengan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) dan juga Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) telah menganjurkan Program Tangki Siswa.
Program ini telah berlangsung di Stesen Minyak Petronas Jalan Skudai-Pontian dan disempurnakan perasmiannya oleh Pengarah Pusat Islam UTM (PIUTM), Prof. Madya Dr Ahmad Che Yaacob.
Pengarah Program, Amir Irshad Saim berkata program ini khas untuk Warga UTM yang beragama Islam sahaja kerana tajaan minyak percuma ini menggunakan sumber daripada kutipan zakat oleh Pusat Islam UTM Johor Bahru.
“Sebanyak RM10,000.00 secara keseluruhannya telah diperuntukkan untuk program ini di mana sejumlah RM7.00 dikhaskan untuk satu kupon dan diperuntukkan untuk sejumlah 1,000 orang.
“Staf atau mahasiswa yang ingin mengisi minyak motosikal masing-masing hendaklah mendapatkan kupon yang disediakan khas untuk program ini di pejabat PIUTM bermula dari 30 Julai hingga 1 Ogos 2023,” katanya.
Menurut Amir lagi, kupon khas program diedarkan setelah peserta mendaftar di dalam ‘Google Form’ sepertimana yang dimaklumkan dalam hebahan email staf dan mahasiswa UTM.
Kupon tersebut boleh dituntut mengikut waktu-waktu slot yang telah dimaklumkan pada ‘Google Form’ tersebut dan ‘Edaran Kit Balik Kampung’ juga turut disediakan untuk 200 orang peserta terawal pada hari program.
”Hanya motosikal yang mempunyai kupon sahaja akan dibenarkan untuk mengisi minyak pada hari program ini.
Oleh yang demikian saya menyeru kepada semua warga UTM yang bermotosikal supaya mengambil peluang ini bagi mengisi minyak percuma,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai program ini Amir berkata Program Tangki Siswa ini adalah yang pertama seumpamanya dilaksanakan UTM dan tidak menolak kemungkinan akan dilaksanakan pada masa hadapan.
”Kami akan mempertimbangkan untuk melaksanakan program seumpama ini pada masa hadapan jika keadaan mengizinkan. Untuk makluman, program ini tidak terhad kepada golongan B40 sahaja tetapi juga diperluaskan kepada M40 dan juga lain-lainnya asalkan mereka menggunakan motosikal berkapasiti 155cc kebawah,” katanya lagi.
Turut menghadiri majlis adalah Ketua Peruncitan Wilayah Selatan Petronas Dagangan Berhad, Erwannudin Noor, Ketua Jualan Runcit Wilayah Selatan 2 Petronas Dagangan Berhad, Ahmad Fadhli Zamzam dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Uni-Technologies Sdn Bhd, Ts Sr. Dr Nor Hafizi Md Lani.