Mei 3, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 1 Ogos – “Pemimpin-pemimpin terdahulu telah menitipkan pesanan, bekerjalah dan laksanakanlah amanah dari Tuhan, terjemahkanlah dengan bukti tindakan yang kelak menjadi contoh ikutan, itulah makna sebenar kemerdekaan,” jelas Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail dalam mukadimah ucapan beliau sempena Majlis Bersama Naib Canselor (MBNC) Ogos 2023 dan Pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-66 peringkat UTM.

Datuk Ahmad Fauzi ketika menyampaikan ucapan dan amanat.

“Mengisi kemerdekaan juga perlukan pengorbanan, tidak hanya sekadar indah di slogan, jauh sekali retorik yang membawa kita di awang-awangan. UTM sebagai medan perjuangan, memartabat peranan pendidikan tinggi sebagai ejen perubahan, yang akhirnya memacu pembangunan ekonomi, teknologi dan sosial anak watan.

“Untuk UTM terus mengungguli kecemerlangan, perkasakanlah jati diri kita dengan Adab, sikap Berdaya Tahan, meneroka pengetahuan dengan Memfokus Bidang, Tekal dalam setiap apa yang kita laksanakan, dan sentiasa meletakkan diri kita sebagai Penyelesai Inovatif yang akan memberi manfaat kepada insan sejagat.

Penarafan dan pengiktirafan serlah kecemerlangan berterusan

“Apabila kita menghayati erti kemerdekaan, kita akan lebih ikhlas mencurah bakti yang akhirnya akan membuahkan hasil untuk kita nikmati.

Datuk Ahmad Fauzi bergambar santai bersama susunan blok yang memaparkan pencapaian semasa UTM.

“Ini dapat digambarkan menerusi pencapaian UTM dalam QS World University Ranking yang kembali berada dalam kedudukan 200 universiti terbaik peringkat global, dengan menduduki tangga ke-188.

“UTM juga terus mengekalkan kecemerlangan dalam Malaysia Research Assessment (MyRA) dengan mengekalkan status universiti bertaraf 6 Bintang. Harus kembali diingatkan bahawa penarafan MyRA ini penting dalam mengekalkan status UTM sebagai Universiti Penyelidikan.

“Namun, yang paling penting adalah kemenjadian pelajar UTM, Anak Kandung kita. Bersandar data dan fakta, UTM menjadi universiti peneraju di peringkat nasional dalam menghasilkan peratusan tertinggi Graduan Berpendapatan Premium dan Graduan Berkemahiran Tinggi, sekali gus menjadi bukti bahawa bakat dan kemahiran Anak Kandung kita diiktiraf dan diperakui.

enVision Moonshot Transformative Journey 2023 sebagai pemangkin dalam merealisasi enVision UTM 2025

“enVision Moonshot Transformative Journey 2023, satu pelan strategik dalam merealisasikan UTM sebagai peneraju penyelesaian, pemacu kecemerlangan kesarjanaan, perintis keunggulan global yang akhirnya membawa kepada lahirnya graduan masa hadapan.

“Kini, UTM berada di landasan yang tepat dalam mencapai hasrat yang diimpikan. Kita diberi mandat sebagai Universiti Peneraju dalam bidang Teknologi Watan untuk Program Penyelidikan Translasional  2023. Bukan itu sahaja, UTM terus memperkukuhkan nama di pentas antarabangsa, menjalin kerjasama strategik bersama negara tetangga, Indonesia yang manfaatnya bakal dinikmati bersama.

“Tidak berhenti setakat itu, kepakaran UTM disebar luaskan ke peringkat komuniti di seluruh negara, sekali gus menjadi enjin perubahan dalam mentransformasi pembangunan ekonomi, teknologi dan sosial komuniti.

“Di samping itu, pelajar UTM terus mengembangkan sayap ke seantero dunia, menjadi rebutan di penempatan konglomerat-konglomerat antarabangsa, menerusi latihan industri peringkat global sama ada secara maya atau fizikal.

UTM Virtual Lab dokong aspirasi pendidikan tinggi masa hadapan

Sementara itu, UTM telah mencatat sejarah dengan muncul sebagai institusi pengajian tinggi awam yang pertama melancarkan Makmal Maya (Virtual Laboratory) di negara ini.

“Ini merupakan satu inisiatif di bawah perancangan strategik enVision UTM 2025 bagi menyokong pembelajaran hibrid, terbuka dan jarak jauh,” ulas Datuk Ahmad Fauzi ketika diwawancara selepas selesai MBNC.

 

Pengunjung merasai sendiri pengalaman meneroka UTM Virtual Lab dengan bantuan peranti realiti maya (VR), dan Naib Canselor UTM ketika melancarkan UTM Virtual Lab semasa MBNC.

“UTM Virtual Lab dapat membantu para pensyarah dalam mentransformasikan pembelajaran praktikal dan makmal fizikal dengan memberikan pengalaman pembelajaran imersif kepada pelajar dan dapat digunakan bagi penyelesaian masalah dunia sebenar.

“Dengan pelancaran UTM Virtual Lab pada hari ini, UTM telah mengorak langkah sebagai universiti awam pertama di Malaysia dalam membangunkan makmal dan kandungannya secara realiti maya berasaskan web,” katanya lagi.

Rakan-rakan media menemubual Datuk Ahmad Fauzi selepas selesai MBNC.

MBNC Ogos 2023 yang diadakan di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru turut berlintas langsung di Dewan Azman Hashim, UTM Kuala Lumpur dan UTM Kampus Pagoh.

Majlis yang dihadiri lebih 3,000 staf UTM turut menyaksikan pelancaran Kempen Tip Top Fleet dan UTM Berhemah dari Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), penyampaian mock-cheque sumbangan UTM Career Carnival ke Tabung Endowmen UTM, penyerahan sijil pengiktirafan syarikat hiliran UTM dan penyerahan sijil kepada staf-staf yang dinaikkan pangkat.

MBNC pada kali ini turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Dr. Edy Tonnizam Mohamad, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin dan Pendaftar UTM, Puan Nor Azizah Ismail.

 

Hadirin yang hadir semangat mengibarkan jalur gemilang dan menyanyikan lagu patriotik

Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti yang hadir di UTM Johor Bahru

Explore More