April 29, 2024

Search
Close this search box.

Projek Iskandar Malaysia Ecolife Challenge untuk kelestarian berpanjangan masa hadapan

Projek inovasi Iskandar Malaysia Ecolife Challenge di bawah pegawai yang bertanggungjawab ialah Prof. Dr. Fatin Aliah Phang  Abdullah dari Centre for Engineering Education (CEE) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama Dr. Nina Diana Nawi, Dr. Nor Farahwahidah Abd Rahman dan Dr. Jaysuman Pusppanathan.

Projek ini telah memberikan impak yang  tinggi dalam pendidikan kelestarian dengan meningkatkan kesedaran masyarakat rendah karbon  bagi pengembangan  institusi menerusi kebitaraan yang unik dan khusus untuk kelestarian jangka panjang.

Projek yang diumumkan sebagai penerima Anugerah Inovasi Naib Canselor (AINC) ini merupakan program kerjasama erat antara UTM, Iskandar Regional Development Authority (IRDA), Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan SWM Environment Sdn Bhd.

Kerjasama ini masih lagi berkekalan sehingga kini dan jelas adalah salah satu usaha dalam menginovasikan penyelesaian kepada masyarakat.

Merungkai mengenai projek ini, Pejabat Strategi dan Hal Ehwal Korporat (SHEK) telah mengaturkan sesi wawancara dengan Prof. Fatin yang juga merupakan Profesor di Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK). Berikut adalah butiran mengenai wawancara itu.

Projek IMEC ini telah memenangi anugerah paling berprestij UTM iaitu Anugerah Inovasi Naib Canselor (AINC) dalam majlis Citra Karisma 2023 yang berlangsung pada 16 Ogos 2023 yang lalu.

1Apakah yang dikatakan Projek inovasi Iskandar Malaysia Ecolife Challenge ini (butiran projek) dan apa tujuannya?

Iskandar Malaysia Ecolife Challenge (IMELC) merupakan satu program pendidikan dan kesedaran masyarakat rendah karbon bagi mendidik murid sekolah rendah memahami konsep perubahan iklim, pemanasan global, gas rumah hijau dan pengurangan karbon melalui pembelajaran eksperiensial (experiential learning) dalam bentuk pertandingan antara sekolah.

Konsep-konsep Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) ini adalah abstrak bagi murid sekolah rendah tetapi inovasi melalui IMELC menggunakan teori pembelajaran konstruktivisme dalam pembelajaran STEM berjaya membina kefahaman tersebut kepada murid menggunakan modul-modul yang disusun dalam satu buku kerja sejak 2013 yang kemudiannya dijadikan dalam bentuk portal di laman web imelc.my bermula 2021.

Kandungan pembelajaran IMELC mengkehendaki murid melalui empat fasa pembelajaran eksperiensial iaitu pengalaman yang konkrit, tindakan, peralihan ke konsep abstrak dan refleksi. Modul dalam IMELC seperti menyemak bil air dan bil elektrik rumah, pengiraan barangan elektrik di rumah, pencarian tanda 5 bintang penjimatan tenaga, aktiviti kitar semula di rumah, pengiraan perbatuan kenderaan di rumah merupakan antara pengalaman konkrit yang murid lalui bagi memahami konsep abstrak.

Apabila murid membuat pengiraan dan menterjemahkan kepada kilogram karbon, murid dapat memahami hubungan kehidupan seharian dengan pelepasan karbon. Selepas itu, mereka bertindak untuk cuba mengurangkan pelepasan karbon melalui projek sekolah dalam IMELC kemudian menuliskan refleksi dalam buku kerja IMELC. Kartun, lukisan, permainan juga digunakan dalam buku kerja IMELC bagi membantu membina pemahaman murid. Ciri gamifikasi telah ditambah dalam portal IMELC bagi menggalakkan murid terlibat secara aktif. Sehingga kini semua 906 sekolah rendah di negeri Johor telah mendapat manfaat dari program IMELC ini.

2.Sejauhmana pencapaian projek ini (sejak mula digerakkan)?

IMELC bermula sebagai satu projek perintis pada tahun 2013 dengan penglibatan hanya 23 sekolah rendah di dalam wilayah Iskandar Malaysia dengan kerjasama erat UTM, IRDA dan JPNJ. Kejayaan projek perintis ini mendorong kumpulan kami meneruskan penganjurannya pada tahun 2014 dengan 80 sekolah rendah dan kemudiannya meliputi semua sekolah rendah di seluruh wilayah Iskandar Malaysia pada tahun 2015.

Pada tahun ke-9 penganjuran IMELC, program ini telah mencakupi semua sekolah rendah di seluruh negeri Johor iaitu 906 sekoah rendah. IMELC telah menyambut ulang tahun ke-10 pada tahun 2022 dengan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan seperti Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Sunway Iskandar.

IMELC berjaya melibatkan lebih kurang 500,000 murid, guru dan ibubapa dalam membudayakan gaya hidup rendah karbon sejak 2013. Data kajian menunjukkan kesedaran murid sebelum dan selepas program IMELC meningkat sebanyak 12.5%. Program ini berjaya mengurangkan karbon sebanyak  5,043,523.32 kgCO2 bersamaan dengan 290,188 batang pokok (174.05 hektar luas tanah) menyerap karbon.

Modul dan projek sekolah IMELC berjaya menjimatkan bil air dan elektrik, dan menjana pendapatan melalui jualan bahan kitar semula sebanyak RM1,315,025.83. Jumlah bahan kitar semula yang berjaya dikumpul adalah 1,349,602.22 kg sejak IMELC mula dianjurkan.

Buku kerja IMELC adalah hak cipta UTM dan telah berjaya dikomersialkan dengan jualan melebihi RM60,000.00. Buku kerja IMELC turut memenangi Anugerah Harta Intelek Negara 2018 oleh MyIPO dan Medal of Creativity oleh WIPO. IMELC turut mendapat geran Knowledge Transfer Programme (KTP) dari KPT pada tahun 2016, geran antarabangsa JICA dan beberapa geran dalam dan luar UTM dengan jumlah keseluruhan sebanyak lebih kurang RM110,000.00.

Hasil penyelidikan IMELC juga telah menghasilkan 1 artikel dalam jurnal berindeks ISI Q2, 4 artikel dalam jurnal berindeks SCOPUS, 2 artikel jurnal tidak berindeks, 3 bab dalam buku, dan 6 artikel dalam prosiding. Selain itu, 2 perjanjian Letter of Cooperation juga pernah termaterai antara UTM, JPNJ dan IRDA, serta UTM, JPNJ, IRDA dan SWM Environment Sdn Bhd yang membentuk satu konsortium IMELC yang erat sejak 2018.

Dari segi anugerah, IMELC telah mendapat 3 anugerah di peringkat antarabangsa oleh United Nations University, WIPO dan Okayama City, 3 anugerah di peringkat kebangsaan oleh MyIPO, ILAM dan GMP, selain beberapa pingat pameran seperti NALI, INATEX, ITEX, PECIPTA dan IDeA. IMELC juga menjana penajaan daripada pelbagai pihak melebihi RM1juta sejak 2013.

3) Bagaimana projek ini berjaya dalam menyokong Sustainable Development Goals (SDG)?

IMELC secara langsung cuba untuk mencapai SDG13 iaitu Tindakan Iklim untuk menyebar kesedaran tentang perubahan iklim serta tindakan yang perlu diambil untuk mengadaptasi serta menghadapi kesan perubahan iklim ini. Selain itu, SDG12 dan SDG4 juga menjadi matlamat yang boleh dicapai oleh IMELC.

Pada tahun 2017, UKM telah menerbitkan satu buku bertajuk “Rising to the Challenge: Malaysia’s contribution to the SDGs” di mana IMELC merupakan salah satu sumbangan yang diiktiraf oleh buku ini yang dilancarkan oleh Penasihat Sains kepada Perdana Menteri pada masa itu.

4) Berapa ramaikah kelompok pelajar yang terlibat dalam projek sejak mula dilaksanakan?

Secara keseluruhan, IMELC telah melibatkan hampir 500,000 murid sekolah rendah, guru dan ibubapa. Bilangan yang tepat bilangan murid yang terlibat adalah seperti rajah di bawah:

5) Apakah pencapaian signifikan projek setakat ini?

Selain pencapaian yang dinyatakan di atas dari segi pengurangan pelepasan karbon, penjanaan pendapatan sekolah, peningkatan kesedaran masyarakat rendah karbon dalam kalangan murid, guru dan ibubapa, geran penyelidikan kebangsaan dan antarabangsa, penerbitan berimpak, anugerah antarabangsa dan kebangsaan, pemfailan harta intelek, pengkomersialan dan penjanaan penajaan, IMELC turut mendorong JPNJ menghasilkan satu Pelan Tindakan Pendidikan Kelestarian Negeri Johor 2019-2023 bagi menyelaras semua aktiviti berkaitan kelestarian di sekolah yang bercambah bagaikan cendawan selepas hujan ekoran daripada kesedaran dan pendidikan yang diperoleh dari IMELC.

Sekolah-sekolah telah mula mengambil inisiatif mengusahakan tanaman di sekolah, kompos sisa makanan, membuka kedai kuru-kuru (bagi tujuan pakai semula bahan buangan), membuka pusat kitar semula di sekolah, memasang sistem penuaian air hujan, memasang panel solar, membina pusat pameran kesedaran alam sekitar, dan pelbagai lagi inisiatif kelestarian yang dibuat oleh sekolah tanpa diarahkan. SJKC Woon Hwa dan SJKC Pulai juga berjaya menjuarai pertandingan SEAMEO-Japan ESD Awards, manakala SK Taman Suria dan SK Bukit Mutiara memenangi Top 15 World Best School Awards Malaysian Chapter.

Sekolah-sekolah yang memenangi IMELC turut menjadi sekolah contoh untuk dilawat oleh pelawat dari Jepun dan DBKL. DBKL turut mengambil IMELC sebagai contoh kes yang boleh diadakan di Kuala Lumpur dalam Kuala Lumpur Low Carbon Society Blueprint 2030.

6) Apakah perancangan projek ini untuk masa hadapan?

IMELC akan diteruskan lagi di Johor kerana negeri Johor adalah negeri pertama dan satu-satunya negeri yang mempunyai Pelan Tindakan Pendidikan Kelestarian. Selain itu, IMELC yang diletakkan dalam talian kini adalah bersedia untuk dikembangkan ke negeri dan negara lain. Kuala Lumpur adalah berminat untuk menganjurkan program serupa dan KPM juga sedang menilai kemungkinan menggunakan IMELC dalam kerangka kurikulum baharu KPM. Dalam webinar pelancaran IMELC tahun lepas dan tahun ini, sebilangan besar peserta webinar yang hadir dan ingin menyertai IMELC datangnya dari seluruh negara. Sekolah-sekolah di luar Johor juga telah mendaftarkan diri dalam portal IMELC. IMELC kini juga dalam perancangan untuk dikembangkan ke sekolah menengah.

Prof. Dr. Fatin Aliah Phang (berbaju kurung maroon) ketika menerima Anugerah Inovasi Naib Canselor (AINC) pada majlis Citra Karisma 2023 lepas.

 

Explore More