November 25, 2024

Search
Close this search box.

MSFG anjur bengkel fotogrametri jarak dekat untuk aplikasi siasatan jenayah

JOHOR BAHRU, 22 Ogos – Makmal Satelit Forensik Geospatial (MSFG) UTM-PDRM telah menganjurkan Program Fotogrametri Jarak dekat yang bertemakan “from Photographer to Photogrammetrist” bertempat di Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru.

Sesi bergambar bersama Dekan UTM-FABU, Pengarah MSFG UTM-PDRM, peserta dari PDRM D10/D13, ahli MSFG dan sekretariat program.

Bengkel yang berkonsepkan pemindahan teknologi ini, telah dihadiri oleh sepuluh (10) orang pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari cawangan D10 (Forensik) dan D13 (Data Bank & DNA) Bukit Aman dan Kontinjen Johor. Delegasi PDRM diketuai oleh ACP Muhammad Zulkifly bin Mohd Isa, selaku Ketua Seksyen Fizikal, Makmal Forensik PDRM Cheras.

Antara peserta yang hadir termasuklah pegawai-pegawai PDRM dari cawangan Jabatan Siasatan jenayah (JSJ) D10 (Forensik) & D13 (Data Bank & DNA) Bukit Aman & Kontinjen Johor.

Bengkel selama 2 hari ini, telah dirasmikan oleh Dekan FABU, Prof. Sr Dr. Kherun Nita binti Ali dan penyampaian sijil kepada para peserta bengkel telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi) FABU, Profesor Dr. Muhammad Zaly Shah bin Muhammad Hussien.

Sesi penyampaian cenderamata PDRM yang disampaikan oleh ACP Muhammad Zulkifly bin Mohd Isa kepada Dekan UTM-FABU, Profesor Sr Dr. Kherun Nita binti Ali.

Semasa bengkel berlangsung, peserta didedahkan dengan pelbagai teori dan teknikal berkaitan pemetaan dan pengukuran menggunakan kaedah dan teknologi Digital Fotogrametri Jarak Dekat (CRP) yang terkini untuk diaplikasikan di dalam Siasatan Tempat Kejadian Jenayah (CSI). Ceramah bengkel telah disampaikan oleh Profesor Sr Dr. Hj. Anuar bin Hj. Ahmad dan Profesor Dr. Zulkepli bin Majid.

Kelihatan Dr. Azman Ariffin dan Prof. Sr Dr. Anuar Ahmad sedang tekun mendengar ucapan perasmian bengkel yang disampaikan oleh Dekan UTM-FABU.

Peserta juga telah diberi peluang mempelajari teknik-teknik mengambil fotografi di lapangan menggunakan kaedah CRP dan seterusnya berpeluang menggunakan perisian berasaskan Structure-from-Motion (SfM) Photogrammetry yang menekankan aspek pemprosesan secara automasi.

Aktiviti kutipan dan pemprosesan data di lapangan telah disampaikan oleh Sr Dr. Mohd Farid bin Mohd Ariff, selaku Pengarah MSFG dengan dibantu oleh staf-staf Makmal Teknologi Ukur (MTU) iaitu Encik Mohd Faizi bin Mohd Salleh dan Encik Anuar bin Aspuri.

Para peserta didedahkan teknik fotografi menggunakan pendekatan Fotogrametri Jarak Dekat.

Bagi memastikan objektif bengkel tercapai dengan jayanya, aktiviti lapangan telah dilakukan secara hands-on sepenuhnya di dalam MSFG yang dilengkapi dengan pelbagai peralatan serta teknologi geospatial yang terkini seperti Terrestrial Laser Scanning (TLS), Photogrammetric Data Capturing System, Camera Calibration System dan Virtual Reality (VR) Headset.

Saudara Shahrul Izwan bin Sukri sedang menunjukan pemprosesan imej menggunakan perisian SfM Photogrammetry (RealityCapture) yang dipinjamkan khas dari Geodelta System Sdn. Bhd.

Turut membantu sepanjang perjalanan bengkel ini adalah pelajar-pelajar dari prasiswazah dan pascasiswazah Geoinformasi iaitu Saudara Yap Wei Kang, Saudara Ahmad Firdaus bin Razali dan Saudara Shahrul Izwan bin Sukri.

Para peserta didedahkan kaedah pemprosesan imej secara hands-on.

Diakhir bengkel peserta telah didedahkan dengan pelbagai modul antaranya kalibrasi kamera, Structure-from-Motion Multiview Stereo (SfM-MVS), Image Point Cloud dan Geo-VR Forensic. Modul-modul yang dikongsikan diharapkan dapat membantu memudahkan dan mempercepatkan kerja-kerja rekonstruksi tempat kejadian jenayah dan perekodan bahan bukti lapangan secara digital.

Mewakili warga FABU khasnya dan UTM umumnya, agar program-program sebegini dapat diteruskan bersama jabatan kerajaan yang lain mahupun pihak industri bagi memberi manfaat dan kebaikan kepada masyarakat dan negara.

ASP Mohamad Nizam bin Husain sedang menerima sijil penyertaan dari Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi) UTM-FABU semasa majlis penutupan bengkel berlangsung.

 

Sebelum pulang, para peserta sempat diberi peluang melawat ke Security Monitoring Operation Centre (SMOC) UTM dan melihat produk inovasi UTM yang dikenali sebagai JAGADrone.

 

Explore More