Mei 4, 2024

Search
Close this search box.

Karnival MSN 2023 Wadah Perhebat Pembangunan Bakat Sains, Teknologi dan Inovasi Negara

JOHOR BAHRU, 20 Ogos – “Penganjuran Minggu Sains Negara (MSN) bertujuan untuk meningkatkan minat terutamanya pelajar sekolah terhadap bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik). Dalam jangka masa panjang, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berharap dapat membangunkan bakat-bakat sains, teknologi dan inovasi berkualiti yang berdaya saing bagi memacu pertumbuhan ekonomi bernilai tinggi negara,” menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Chang Lih Kang dalam ucapan perasmian Karnival MSN 2023 Peringkat Negeri Johor.

“MOSTI juga mengambil tanggungjawab untuk mempergiatkan inisiatif bagi membudayakan sains dan teknologi. Antara program selain daripada MSN adalah seperti Techlympics (sebuah program flagship MOSTI) merangkumi pertandingan seperti robotik, pengaturcaraan, dan IoT dalam kalangan murid sekolah. Ini merupakan satu inisiatif MOSTI untuk mencungkil bakat dan juga menarik minat anak-anak kita dalam sains dan teknologi,” jelas beliau.

YB Menteri MOSTI ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena Karnival MSN 2023 Peringkat Negeri Johor.

“Baru-baru ini, MOSTI telah bekerjasama dengan Kementerian Ekonomi dengan melancarkan satu rancangan realiti TV, Innovathon. Ini adalah satu rancangan realiti TV berkonsepkan inovasi pertama di Malaysia dalam usaha untuk mengarus perdanakan inovasi, selain daripada kita merakyatkan sains, dan menginsankan teknologi. Episod pertama Innovathon telah menarik 1.1 juta tontonan, sekali gus menjadi bukti bahawa rakyat Malaysia sememangnya meminati inovasi dan teknologi.

“Bagi meningkatkan lagi perkongsian pengetahuan dan kemahiran serta memberikan pengalaman praktikal kepada masyarakat setempat, MOSTI telah menyediakan Ruang Daya Cipta yang merupakan sebuah Hab Reka Cipta Teknologi dan Inovasi di dua lokasi di Johor iaitu di Pusat Perkhidmatan dan Transit Pelancongan Batu Ampat, Kota Tinggi dan Pusat Komuniti Desa Layang-Layang.

YB Menteri MOSTI melawat reruai Aplikasi Kejuruteraan Mekanikal yang menampilkan teknologi pencetakan 3D.

“Bajet 2023 Negeri Johor juga memperuntukkan RM400 ribu bagi pelaksanaan program Youngsters Coding Program dan RM400 ribu lagi bagi merealisasi Program Young Drone Engineers. Usaha-usaha ini diharap dapat membantu memperhebat dan memperkukuh agenda dan pembangunan bakat Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) di Johor,” tambah beliau.

Pengunjung tidak melepaskan peluang merasai pengalaman teknologi realiti maya (VR).

Sementara itu, dalam ucapan alu-aluan, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Rosli Md Illias menyatakan bahawa “agenda MSN adalah selari dengan misi UTM untuk membangun bakat holistik dan mensejahtera kehidupan menerusi ilmu dan inovasi teknologi.”

“UTM juga telah menubuhkan protem Konsortium Sains Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sebagai platform dalam merancang, menghubung, melaksana dan memantau inisiatif pendidikan dan pembudayaan STEM. Konsortium ini akan memastikan tadbir urus berlaku secara bersinergi dan inklusif merentas universiti, industri, kerajaan dan komuniti.

YB Menteri MOSTI memerhatikan seorang murid mencuba menggunakan mikroskop.

“Adalah menjadi harapan saya agar ekosistem kerjasama antara seluruh pihak perlu terus diperkasakan, yang merangkumi kerajaan, universiti, komuniti dan industri. Lebih-lebih lagi di negeri Johor, pembangunan ekosistem negeri Johor sebagai Lembah Inovasi dapat dijayakan melalui penciptaan kekayaan melalui kemajuan penyelidikan dan ilmu pengetahuan untuk kesejahteraan komuniti dan kemajuan industri,” ujar beliau.

Majlis Perasmian Karnival MSN 2023 yang berlangsung di Stadium Tertutup Arena Larkin ini turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Cik Norlizah Noh; Setiausaha Bahagian, Pembudayaan dan Perkhidmatan (STI) MOSTI, Tuan Haji Nik Kamaruzzaman Nik Hussin dan Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Md Said Daimon.

Karnival selama dua hari ini yang bermula pada 19 Ogos 2023 adalah anjuran bersama MOSTI dan Kerajaan Negeri Johor dengan kerjasama UTM. Karnival telah berjaya menarik lebih 10,781 penyertaan daripada komuniti setempat yang terdiri daripada pelajar sekolah, penuntut institusi pendidikan tinggi serta orang awam.

YB Menteri MOSTI dilihat tertarik dengan inovasi yang dipamerkan di salah satu reruai.

Pelbagai aktiviti menarik berteraskan STI disediakan sepanjang Karnival MSN 2023 Peringkat Negeri Johor antaranya aktiviti hands-on yang menarik seperti Pencerapan Solar, Drone Challenge, Pertunjukan Sains Interaktif, Aktiviti Robotik, DIY Roket STEM, Planet Virtual Reality dan Pocket Talk STI. Terdapat juga penyertaan pelbagai agensi dan institusi dalam reruai pameran antaranya Fakulti Sains UTM yang bertajuk All About Numbers, kegunaan bahan kimia oleh Jabatan Kimia Malaysia dan sebagainya.

YB Menteri MOSTI bergambar bersama tetamu jemputan, murid sekolah dan pengunjung yang hadir ke Karnival MSN 2023.

Explore More