Mei 3, 2024

Search
Close this search box.

UTM Kekal Unggul Hasilkan Graduan Berpendapatan Premium, Berkemahiran Tinggi di Peringkat Nasional

JOHOR BAHRU, 10 Jul. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus menunjukkan kecemerlangan apabila kekal mengungguli tempat pertama dalam kalangan Universiti Awam (UA) di Malaysia bagi kategori Graduan Berpendapatan Premium (Ijazah Sarjana Muda) berdasarkan kepada Laporan Penuh Kadar Kebolehpasaran Graduan (GE) 2022 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada 5 Julai 2023.

Pencapaian ini sekali gus mengekalkan keunggulan UTM selaku universiti perintis bagi Graduan Berpendapatan Premium di Malaysia.

 Di samping itu, buat julung kalinya UTM turut mencatatkan kedudukan pertama bagi kategori Graduan dengan Tahap Kemahiran Tinggi dengan kadar 85.4 peratus.

Menurut Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail, “Pencapaian ini dilihat mengukuhkan kedudukan UTM sebagai universiti peneraju dalam memperkasa agenda TVET aras tinggi sebagaimana yang telah digariskan oleh YB Menteri Pendidikan Tinggi tahun ini.”

“Ianya juga selaras dengan agenda pelan strategik enVision UTM 2025 yang memfokuskan kepada kemenjadian graduan yang berorientasikan masa hadapan dan berkemahiran tinggi menerusi program akademik yang berkualiti, relevan dan berimpak tinggi,” tambah beliau.

Sementara itu, UTM terus mengekalkan kecemerlangan dalam aspek kebolehpasaran graduan (GE) secara keseluruhan dengan kadar 99 peratus, sekali gus berada dalam kedudukan tiga teratas di peringkat nasional.

Pencapaian ini turut dibuktikan melalui sebanyak 80.3 peratus daripada graduan yang dihasilkan telah berjaya menempatkan diri dalam industri. Antara faktor kepada peratusan ini adalah berkait rapat dengan hubungan strategik UTM dengan pihak industri dan agensi yang akrab dan lestari.

“Hubungan sinergistik yang bersifat jangka panjang dan lestari antara pihak UTM bersama pihak industri, agensi dan alumni menyumbang secara langsung dalam memberikan manfaat kepada graduan, khususnya menerusi peluang pekerjaan,” katanya lagi.

Pengukuran kadar kebolehpasaran graduan (GE) sebagaimana yang digariskan oleh KPT adalah meliputi graduan yang bekerja, melanjutkan pengajian, meningkatkan kemahiran dan menunggu penempatan pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.

Secara keseluruhan, pencapaian UTM berdasarkan Laporan Penuh Kadar Kebolehpasaran Graduan (GE) 2022 menunjukkan universiti ini berada pada landasan yang tepat dalam menjayakan visi dan misinya untuk kekal terampil sebagai Universiti Ulung Kejuruteraan negara.

 

 

Explore More