November 5, 2024

Search
Close this search box.

Geoinformation Career Carnival 2023 tarik kehadiran industri dan pelajar tahun akhir

JOHOR BAHRU, 28 Jul. – Program Geoinformasi, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) telah menganjurkan Geoinformation Career Carnival 2023 sebagai memupuk jalinan kerjasama antara pihak universiti, industri dan agensi seterusnya melengkapkan konsep quadruple helix iaitu memberi semula kepentingan kepada para pelajar UTM khususnya pelajar Geoinformasi.

Program Geoinformation Career Carnival 2023 atau singkatannya GCC2023 ini telah dihadiri dua puluh (20) agensi dan industri dari dalam dan luar negara. Program yang julung kalinya diadakan ini adalah bertujuan tidak lain daripada menyediakan satu platform kerjaya kepada para pelajar tahun akhir program Geoinformasi apabila mereka menamatkan pengajian kelak.

Antara agensi yang hadir adalah Bintang Subsea Ventures (M) Sdn. Bhd., Ukurancang Perunding Sdn. Bhd., Jurukur Tanahmas Sdn. Bhd., Syarikat Mahyuddin dan Siew Sdn. Bhd., ENZ Geodata Survey Sdn. Bhd., Mesra Ukur Sdn. Bhd., Rancang Bistari, Harmony Studio Sdn. Bhd., Geo Runding Sdn. Bhd., Perunding Geomatik Sdn. Bhd., Temasek Hidroteknik Sdn. Bhd., GPS Lands (M) Sdn. Bhd., UZMA Group Geospatial AI, Uni-Technologies Sdn. Bhd. (GnG), Reach Subsea Pte. Ltd., UTEC Survey Asia Pte. Ltd., Centre of Technical Excellence (CENTEXS), Global Detection Solution Sdn. Bhd., AmanahBerjasa Geomatique (M) Sdn. Bhd. dan Setia Geosolution Sdn. Bhd.

Program telah dihadiri lebih 60 orang orang pelajar Geoinformasi yang terdiri daripada pelajar Kejuruteraan Geomatik dan Sains Geoinformatik. Sesi temubual ringkas telah dijalankan dan hasil daripada temubual tersebut, majoriti pelajar yang hadir telah ditawarkan peluang pekerjaan daripada agensi yang hadir ke GCC2023.

Program telah dirasmikan oleh Dekan FABU, Profesor Sr Dr. Kherun Nita Ali dan Pengarah Geoinformasi, Profesor Madya Sr Dr. Tajul Ariffin Musa serta barisan pensyarash kanan Geoinformasi.

Selain itu, program GCC2023 ini dilaksanakan bagi memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar yang rata-rata terkesan dengan pandemik Covid-19 sebelum ini dan dengan adanya sesi temubual dengan pihak agensi ini sedikit sebanyak diharapkan dapat membantu para pelajar ini dalam mengetahui tahap kefahaman mereka serta kemahiran komunikasi bagi mendapatkan pekerjaan.

Di samping sesi temubual, terdapat juga slot Bicara Kerjaya yang disampaikan oleh pihak Royal Institution of Surveyors Malaysia (RISM) Cawangan Johor, Persatuan Juruukur Tanah Bertauliah Malaysia (PEJUTA), agensi I Net Spatial Sdn. Bhd. dan Geomapping Technology Sdn. Bhd. bagi memberikan idea kepada para pelajar berkenaan pilihan-pilihan laluan kerjaya bagi bidang Kejuruteraan Geomatik dan Sains Geoinformatik.

Penganjuran program GCC2023 ini diharapkan dapat diteruskan bagi tahun mendatang bagi memastikan bakal graduan Geoinformasi akan terus diserap ke bidang-bidang pekerjaaan di samping mampu mengeratkan jalinan antara pihak UTM dan pihak industri dan agensi.

Oleh: Sr Dr. Muhammad Hafiz Mohd Yatim

 

Explore More