Disember 22, 2024

FSSH angkat agenda kelestarian menerusi konsep ‘Sekolah Hijau’

JOHOR BAHRU, 21 Jun – Program Service Learning di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merupakan satu platform yang membolehkan pelajar menggabungkan teori yang mereka pelajari dalam bilik kuliah dan latihan praktikal yang mereka perlu laksanakan dalam projek khidmat masyarakat.

Untuk menyokong niat murni ini, para pelajar Tahun 4 Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan (FSSH), UTM dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Usman Awang, Taman Perling, Johor Bahru telah melaksanakan program service learning bagi menyokong kesedaran dan kelestarian alam sekitar.

Para pelajar menggunakan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang mereka perolehi untuk meningkatkan pemahaman mereka tentang isu sosial, dan membangunkan kemahiran komunikasi serta memperkukuh kepimpinan selari dengan apa yang digariskan dalam tujuh ciri kemahiran insaniah yang perlu ada dalam diri pelajar UTM.

Program Service Learning ini bertemakan Sekolah Hijau: Merealisasikan Pendidikan Holistik yang melibatkan empat projek iaitu penanaman cendawan tiram, taman herba pintar, kitar semula dan e-green.

Ia dilaksanakan bermula daripada 17 Mei hingga 21 Jun 2023 di SMK Dato Usman Awang, Taman Perling, Johor Bahru, yang melibatkan 31 orang pelajar Tahun Akhir Sekolah Pendidikan, FSSH UTM.

Objektif program Service Learning ini adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar UTM dan sekolah mengenai konsep “Sekolah Hijau” dalam memelihara alam sekitar selain dapat meningkatkan kreativiti pelajar dalam menyokong konsep tersebut dengan menggunakan pelbagai aktiviti seperti program kitar semula, penanaman cendawan tiram dan herba.

Melalui nilai kreativiti ini juga para pelajar akan mempelajari pelbagai aplikasi moden dalam program e-green bagi menghasilkan dan menyebarkan maklumat berkenaan konsep “Sekolah Hijau” terutama mutakhir ini pelbagai informasi disebarkan dengan menggunakan platform media sosial.

Penasihat Program, Prof. Madya Dr. Hj. Zainudin bin Hassan berpendapat, “program Service Learning yang dilaksanakan oleh pelajar UTM ini perlu diteruskan dan tidak hanya terhenti apabila selesai pelaksanaannya”.

Tambah beliau, program ini merupakan satu peluang kepada para pelajar UTM untuk bekerjasama dengan agensi-agensi Kerajaan dan swasta seperti Jabatan Pertanian Negeri, Jabatan Pendidikan Negeri, NGO serta rangkaian makanan segera terkemuka Malaysia, McDonald’s Corporation bagi memastikan program ini berjalan lancar dan berjaya mencapai matlamat.

Di samping itu, FSSH berhasrat untuk terus mengekalkan program service learning ini pada masa akan datang kerana ini merupakan satu peluang bagi para pelajar Tahun Akhir untuk menabur bakti melaksanakan program ini bersama komuniti setempat.

Ia tidak terhad kepada komuniti sekolah sahaja malah boleh juga melibatkan komuniti perumahan seperti taman perumahan atau komuniti kampung.

Tenaga, idea dan kepakaran mereka boleh digunakan sebaiknya dalam menjayakan program service learning ini di samping dapat meningkatkan pengalaman mereka dalam melaksanakan program.

Pengalaman dan ilmu ini sangat penting bagi melengkapkan diri mereka sebelum menempuh dunia pekerjaan suatu hari nanti.

Melalui program seumpama ini, menjadi harapan FSSH untuk terus melahirkan para graduan yang bukan sahaja mempunyai ilmu dan kepakaran dalam bidang pengajian masing-masing, malahan juga mempunyai nilai isaniah dan lengkap daripada segi Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek.

Pautan video – https://youtu.be/gy8lVyhEeAk

Pautan gambar – https://drive.google.com/drive/folders/1O5bDeNhDqLmWzuD4Im3t2OZWGNl_zgSs?usp=sharing

Oleh: Syafiq Izwan dan Khairull Azmi Ishak

Explore More