April 25, 2024

Search
Close this search box.

UTM, JPK, Decathlon dan UBF Maintenance meterai kerjasama lahirkan tenaga kerja berkualiti untuk masa hadapan

JOHOR BAHRU, 1 Jun – Satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah dimeterai antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia (KSM), UBF Maintenance Sdn. Bhd. dan Decathlon Malaysia bagi membolehkan kerjasama strategik dijalankan dalam aspek peningkatan kualiti modal insan sebagai tenaga kerja berkualiti pada masa hadapan.

Pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman itu telah berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim (BCSI) telah berlangsung pagi tadi dengan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan),  Prof. Dr. Edy Tonnizam Mohamad mewakili UTM bertukar dokumen MoU dengan Ketua Pengarah JPK, Ts Dr. Mohamad Sulaiman, Ketua Pegawai Eksekutif UBF Maintenance, Dato’ Dr. Leom Joo Deck, dan Ketua Seksyen Decathlon Malaysia, Presha Devan.

Prof. Edy dalam ucapan aluannya berkata jalinan kerjasama ini adalah satu inisiatif strategik pemerkasaan hubungan UTM dengan pihak industri bagi memastikan institusi ini terus unggul dalam konteks graduan berkemahiran bagi memenuhi pasaran kerjaya yang diperlukan di Malaysia.

“Melalui kolaborasi ini, JPK akan menawarkan perkongsian kepakaran dalam perlaksanaan program kemahiran khususnya melalui Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) yang memberikan lebih peluang kepada pelajar untuk bekerja dalam suasana sebenar berdasarkan kompetensi dan piawaian pekerjaan.

“Usaha ini sememangnya selari dengan hasrat kerajaan menyediakan tenaga kerja berkualiti untuk pembangunan ekonomi negara,” katanya lagi.

Menurut Prof. Edy lagi, kerjasama dengan UBF dan Decathlon pula akan memberikan pelbagai menfaat menerusi aktiviti pembangunan dan intervensi kerjaya yang akan dilaksanakan menerusi Pusat Kerjaya UTM (UTMCC) yang bernaung di bawah naungan Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar).

“Aktiviti yang dirangka bukan sahaja membolehkan pelajar berinteraksi secara terus dengan pihak industri malah mendapat makluman mengenai keperluan terkini yang diperlukan dalam pekerjaan,” katanya lagi.

Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Dr. Edy Tonnizam Mohamad (empat dari kiri) bersama ketiga-tiga pihak yang menandatangani Memorandum Persefahaman dengan UTM.

Explore More