April 25, 2024

Search
Close this search box.

UTM Legal Open Day 2023 beri pemahaman peranan PPUU kepada warga universiti

JOHOR BAHRU, 25 Mei – Pejabat Penasihat Undang-Undang (PPUU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Hari Terbuka Bahagian Undang-Undang universiti atau ‘UTM Legal Open Day 2023’.

Hari Terbuka bahagian Undang-undang yang berlangsung di Dewan Jamuan, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim (BCSI) ini telah dirasmikan pembukaannya oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Ahmad Fauzi Ismail .

Pegawai Undang-Undang Kanan UTM, Iria Izham Basir berkata objektif utama program ini diadakan adalah bagi memberikan peluang kepada warga universiti untuk mengenali dengan lebih rapat berkaitan dengan fungsi dan peranan unit ini.

“Tidak ramai yang mengetahui apa itu Pejabat Penasihat Undang-Undang dan peranannya dalam urus tadbir universiti.

“Dengan adanya program ini kami harap agar warga universiti dapat memahami apa sebenarnya peranan dan fungsi PPUU ini,” katanya.

Iria berkata antara program yang dijalankan adalah sesi syarahan undang-undang (Legal Talk Series) oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mahkhamah Tinggi Kuala Lumpur, Yang Arif Dr. John Lee Kien How@Mohd Johan Lee, Kuiz dengan hadiah menarik, Cabutan Bertuah dan ‘Goodies Bag’ bagi 50 pengunjung terawal.

“Pengunjung juga boleh mendapatkan perkhidmatan di kaunter-kaunter yang disediakan seperti menjelaskan dan menjalankan semakan saman trafik Polis Di Raja Malaysia (PDRM), semakan cukai tanah di kaunter Pejabat Tanah Johor dan juga khidmat kaunseling pengurusan kewangan di Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

“Pengunjung juga boleh membuat semakan cukai harta di kaunter Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) di samping mendapatkan khidmat nasihat teknikal dalam bidang perundangan dari kaunter PPUU dan juga menjalankan pemeriksaan kesihatan di kaunter Pusat Kesihatan Universiti Teknologi Malaysia (PKU),” katanya lagi.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Ahmad Fauzi Ismail selepas melancarkan UTM Legal Open Day 2023 di Dewan Jamuan, BCSI UTM Johor Bahru.
Pengunjung boleh mendapatkan perkhidmatan dari pelbagai kaunter perkhidmatan yang disediakan sempena UTM Legal Open Day 2023.
Pengunjung mendapatkan perkhidmatan di kaunter Pusat Kesihatan UTM sempena UTM Legal Open Day 2023.

Explore More