November 22, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 17 April – Hubungan kerjasama di antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Penang Youth Development Corporation (PYDC) telah terjalin melalui perbincangan dan lawatan PYDC ke UTM pada 21 Februari 2023 yang lalu .

Kunjungan hormat ini diketuai oleh Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah PYDC, YB Tuan Soon Lip Chee, yang juga merupakan Exco Belia dan Sukan, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan ADUN Bagan Jermal dan pegawai PYDC.

Perbincangan kedua-dua pihak dihadiri oleh YBhg. Datuk Naib Canselor UTM dan pegawai-pegawai kanan Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar).

Antara persetujuan awal yang telah dicapai melalui perbincangan ini adalah hubungan kerjasama pembangunan kerjaya pelajar dan graduan anak Negeri Pulau Pinang, inisiatif pembangunan kemahiran graduan, peluang biasiswa, serta kebolehpasaran graduan melalui syarikat dan industri yang diurus PYDC bagi pihak kerajaan Negeri.

Sesi perkongsian oleh Pengurus Besar PYDC – Dr Gwee Sai Ling

Program bersama UTMCC dan BAPP JTNCHEP ini turut dihadiri wakil industri dari Invest Penang, Cik Yann Hiou Yian Ling dan Naib Presiden NationGate Solutions (M) Sdn. Bhd., En. CK Tan, bagi perkongsian peluang-peluang kerjaya yang ditawarkan di Pulau Pinang kepada bakal graduan M&E.

Majlis penyampaian cenderamata penghargaan kepada barisan speaker industri. Dari kiri : Ms. Yann Hiou Yian Ling, Invest Penang, Mr. CK Tan, NationGate Solutions (M) Sdn. Bhd., Prof. Madya Dr. Azlan bin Abdul Latib, Dr. Gwee Sai Ling, PYDC, Prof. Madya ChM. Dr. Che Rozid bin Mamat

Hasil dari perbincangan ini, Pusat Kerjaya UTM (UTMCC) dengan kerjasama Bahagian Aktiviti dan Pembangunan Pelajar (BAPP), Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) telah menandatangani Surat Cara dengan PYDC pada 17 April 2023.

Majlis yang disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar). Prof. Dr. Shamsul bin Sahibuddin,  bagi pihak UTM dan Pengurus Kanan PYDC, Dr. Gwee Sai Ling sambil disaksikan oleh Prof. Madya ChM. Dr. Che Rozid bin Mamat dan YB Tuan Soon Lip Chee serta barisan pegawai-pegawai JTNCHEP.

“Penyertaan UTM sebagai rakan kerjasama dengan PYDC merupakan satu agenda penting dalam usaha UTM melahirkan bakat holistik dengan membangunkan graduan berkualiti tinggi dan berkemahiran bagi membangunkan ekonomi Negara dalam tempoh pasca-pandemik ini” ujar YBhg. Prof. Dr. Shamsul bin Sahibuddin, Timbalan Naib Canselor (HEP) dalam ucaptama beliau.

YBhg. TNCHEP turut merakamkan penghargaan kepada wakil industri yang bersama-sama mengembeling usaha dalam memperkasa kebolehpasaran graduan UTM.

“Kerjasama ini juga menandakan komitmen terhadap sinergi berterusan Universiti – Industri ke arah mencapai matlamat yang penjanaan ekonomi. Ia merupakan satu peristiwa penting dalam usaha kami untuk mengukuhkan hubungan strategik organisasi masing-masing.” ujar beliau lagi.

“Kerjasama ini juga membolehkan PYDC memanfaatkan kekuatan, sumber dan kepakaran UTM untuk mewujudkan peluang baharu kepada golongan muda di Pulau Pinang dan seterusnya. Kami juga komited membangunkan program dan inisiatif yang memperkasakan belia kita, menggalakkan inovasi dan keusahawanan, dan membina masyarakat yang mampan untuk masa depan.” kata YB Tuan Soon Lip Chee, Pengerusi PYDC merangkap Exco Belia dan Sukan, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Majlis diakhiri dengan sesi iftar tajaan PYDC bersama semua pelajar serta para jemputan program bagi mengeratkan sinergi kedua belah pihak dihadiri seramai 188 orang pelajar serta pegawai-pegawai UTM, PYDC serta jemputan industri.

 

 

Explore More