Disember 22, 2024

Pemantapan Ekosistem Penyelidikan Tumpuan Utama UTM tahun 2023

Menggalas amanah dan tanggungjawab untuk memastikan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus menerajui kebitaraan dalam bidang penyelidikan dan inovasi negara, UTM melalui Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), JTNCPI, bersedia dengan beberapa kerangka strategik dalam usaha mencapai keunggulan global sebagai sebuah universiti penyelidikan terkemuka negara selari dengan tagline “Menginovasi Penyelesaian (Innovating Solutions)”.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Rosli Md Illias, untuk mencapai matlamat tersebut, usaha-usaha yang dilaksanakan UTM perlu menjadi lebih berfokus, berimpak dan bersifat mampan (sustainable). Usaha-usaha ini merupakan kesinambungan dalam memastikan ekosistem penyelidikan yang mantap merangkumi elemen-elemen, seperti dana penyelidikan, infrastruktur, pemerkasaan bakat, kerjasama dan budaya penyelidikan itu sendiri.

“Ini juga termasuk pembangunan kecemerlangan keilmuan (scholarly excellence). Kerana kita percaya dengan meningkatkan kecemerlangan keilmuan, kita akan dapat menghasilkan output dalam bentuk perkembangan ilmu, harta intelek (IP) dan paten yang mana ia akan menarik minat dan libat sama daripada industri, seterusnya membawa kepada penyelesaian masalah masyarakat, yang akhirnya dapat meningkatkan tahap sosioekonomi mereka,” jelas Prof. Rosli.

“Apabila kita menguasai sesuatu cabang atau disiplin ilmu, secara langsung kualiti penyelidikan kita akan meningkat. Penghasilan produk penyelidikan kita akan menjadi lebih berkualiti, mengambil kira penyelesaian masalah masyarakat yang lebih kompleks dan komprehensif.”

Dalam menterjemahkan hasrat ini, menerusi inisiatif Moonshot Transformative Journey 2023 (MTJ 2023), JTNCPI mengorak langkah menerusi penyelidikan translasional dan program khidmat masyarakat (CSR), antaranya, program Fantastic Four (F4), F4+, dan inisiatif geran khusus bagi Pusat Kecemerlangan dan Kumpulan Penyelidikan (CoE/RG) UTM.

“Dalam Program F4, F4+, dan CoE/RG, kita melaksanakan projek berteraskan integrasi dan gabungan projek merentas disiplin yang saling berkaitan dalam satu program.

“Contohnya, program pembangunan robot dan dron, ia harus menggabungkan pakar-pakar merentas disiplin, seperti dari kejuruteraan elektrik, kejuruteraan mekanikal, sains komputer untuk duduk bersama bagi merealisasikannya. Pertama, dalam program ini, mesti ada elemen pembangunan ilmu (penemuan dan penerokaan ilmu dan teknologi baharu). Kedua, apa yang dihasilkan dalam projek ini sepatutnya boleh memberi manfaat kepada masyarakat,” tambah beliau.

Secara tidak langsung, projek CSR juga akan berteraskan kepada projek penyelidikan yang dibangunkan, yang mana semua ini mendukung hasrat UTM dalam menginovasi penyelesaian.

Memperkasa kebitaraan penyelidikan

Dalam memperkasa kebitaraan UTM dalam arena penyelidikan, UTM memfokuskan sembilan bidang penyelidikan yang sememangnya menjadi kekuatan dan kepakaran UTM (UTM Signature Research Area), iaitu Sustainable and Resilient Urbanisation, Smart Living and Sustainable Cities, Water Security, Biomedical and Health Engineering, Next Generation Systems and Networks, Energy Security, Smart Manufacturing and Materials, Natural Products and Biotechnology, dan Smart Mobility.

UTM melihat sembilan bidang penyelidikan ini mampu membawa kepada inovasi yang berpaksikan insan dalam mencapai ekosistem mampan dan masyarakat sejahtera. Selain melihat kepada keperluan lokal, UTM juga menilai aspek cabaran sistemik global dan tren masa depan bagi membolehkan inovasi yang dibangunkan kekal relevan dan di landasan yang tepat.

Dalam memastikan ekosistem penyelidikan di UTM terus disokong dan diperkasa, semua staf universiti (sama ada pentadbir akademik, pegawai pengurusan & profesional dan staf teknikal) perlu bergerak seiring dalam merancang dan melaksanakan misi yang diunjur. Pemantapan ekosistem penyelidikan tidak akan dapat direalisasikan sekiranya bakat-bakat sumber manusia ini masih berada di takuk lama.

Menurut Prof. Rosli lagi, “Kombinasi kepakaran pakar bidang UTM bertaraf Profesor dan pensyarah-pensyarah baharu perlu digerakkan bagi memastikan kepakaran sedia ada dapat diperkasa dan pada masa yang sama bakat-bakat penyelidik muda yang berpotensi dapat diserlahkan, disamping kerjasama bersama penyelidik terkemuka dan institusi-institusi luar juga akan digiatkan.”

Di akhir temu bual, beliau turut mengharapkan agar kemahiran dan kompetensi bakat Universiti dapat dipertingkat dan disuburkan dari semasa ke semasa, sekali gus memantapkan lagi persekitaran yang akan melancarkan lagi kerja-kerja penyelidikan. Dengan itu, penyelesaian yang diinovasikan bukan sahaja dapat dimanfaatkan oleh masyarakat setempat, bahkan mampu menyokong UTM menempa keunggulan global.

Explore More