April 20, 2024

Search
Close this search box.

UTM bakal bangunkan hospital sendiri

KUALA LUMPUR, 9 Feb. – UTM Holdings Sdn Bhd (UTMH), anak syarikat milik penuh Universiti Teknologi Malaysia (UTM), telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Cypark Resources Bhd (CRB) dan Selgate Healthcare Sdn Bhd (SHSB). MoU tiga pihak ini adalah untuk mementerai kerjasama antara 3 pihak bagi tujuan pembangunan dan pengoperasian hospital swasta di Skudai, Johor.

Sebagai Syarikat milik penuh UTM, sektor pembangunan hartanah, pengurusan fasiliti dan pengurusan projek adalah teras utama perniagaan UTMH. UTMH juga memberi nilai tambah kepada hartanah dan asset UTM melalui pelaburan dan menjalinkan kerjasama strategik yang mendorong kepada peningkatan pendapatan dan pulangan pelaburan.

Wakil kedua-dua pihak sedang menandatangi MoU sambil disaksikan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ahmad Fauzi.

Hospital Pakar yang akan dibangunkan di atas tanah milik UTM dengan keluasan 5 ekar di Skudai, Johor ini di bina di lokasi yang strategik untuk memenuhi keperluan populasi penghuni kampus yang ramai dan populasi komuniti setempat yang semakin meningkat serta kepesatan pembangunan kawasan dalam Bandaraya Iskandar Puteri dan sekitarnya.

Hospital Pakar dengan keluasan 462,128 kaki persegi ini akan menjadi hospital pakar pelbagai disiplin dan keupayaan sebanyak 177 katil. Hospital ini juga akan dilengkapai dengan pelbagai kemudahan moden seperti ruang runcit, kafeteria serta parkir untuk menampung keperluan pesakit, pelawat dan ahli keluarga. Pembangunan yang dijangka siap pada 2026 ini akan memberi nilai tambah kepada bidang Biomedikal yang diteraju oleh UTM selaku universiti penyelidikan terkemuka di Malaysia. UTMH sebagai syarikat anak akan memainkan peranan utama dalam menjayakan pembangunan ini serta visi UTM.

MOU tiga pihak ini telah ditandatangani oleh wakil daripada ketiga-tiga parti yang di adakan di UTM Residensi Kuala Lumpur. SHSB diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Selgate Corporation Sdn. Bhd. & Pengarah Eksekutif SHSB, Dato’ Noor Hisham Mohd Ghouth manakala CRB diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Dato’ Daud Bin Ahmad dan bagi pihak UTMH oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Encik Ahmad Kamil Kushairi.

Mengenai UTM Holdings Sdn Bhd

UTMH ialah sebuah syarikat milik penuh Universiti Teknologi Malaysia dan perniagaan terasnya ialah pembangunan hartanah, pengurusan projek dan pengurusan kemudahan. UTMH menjana pendapatan dan menambah nilai aset dan hartanah Universiti melalui pelaburan yang kukuh, penyelesaian inovatif dan perkongsian pintar yang menjana pendapatan tinggi dan pulangan pelaburan.

Mengenai Cypark Resources Bhd

CRB ialah syarikat senaraian awam di Papan Utama Bursa Malaysia. Perniagaan terasnya adalah dalam bidang pembangunan hartanah, penjana tenaga boleh diperbaharui bersepadu, pembinaan dan kejuruteraan, teknologi hijau dan perkhidmatan alam sekitar, dan pengurusan sisa.

Mengenai Selgate Corporation Sdn Bhd

SHSB ialah anak syarikat milik penuh Selgate Corporation Sdn Bhd (SCSB), salah satu anak syarikat milik pemaju hartanah terkemuka Negeri Selangor, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). SCSB diberi mandat oleh kerajaan negeri Selangor untuk menerajui industri penjagaan kesihatan di Malaysia. SHSB meletakkan dirinya sebagai penyedia utama industri penjagaan kesihatan melalui pelbagai perniagaan terasnya seperti operasi hospital, rangkaian klinik, dan Pengurusan Penjagaan Kesihatan Pihak Ketiga, e- dompet dan ‘super-app’ penjagaan kesihatan – SELangkah.

 

 

 

 

 

Explore More