Disember 21, 2024

Oleh Prof. Ts. Dr Zaidatun Tasir dan Hafizan Hamzah

Satu hal yang perlu diakui, sistem pendidikan tinggi hari ini seharusnya didigitalkan selari dengan Pelan Pendigitalan Pendidikan Tinggi Negara. Perkembangan dunia teknologi komunikasi ditambah pula dengan senario kehidupan semasa yang dihimpit penularan pandemik COVID-19.

Menyegerakan proses mendigitalkan bidang pendidikan akan memudahkan lagi pensyarah, mahasiswa dan juga ibu bapa berdasarkan situasi semasa. Ia juga harus dibuat dengan menyeluruh merangkumi capaian internet terutamanya di kawasan pedalaman selain penyediaan peranti yang bersesuaian.

Diakui perkembangan teknologi komunikasi mengubah banyak perkara dalam kehidupan sama ada capaian kepada maklumat sehinggalah kaedah kanak-kanak bermain malah dalam konteks hari ini, belajar.

Mengulas lanjut mengenai perkara ini, wartawan UTM NewsHub telah mewawancara Prof. Ts. Dr. Zaidatun Tasir, pakar bidang Teknologi Pendidikan dari Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan berikut adalah petikan wawancara berikut :

UTM NewsHub: Elemen terpenting dalam pendigitalan pendidikan adalah akses kepada talian Internet. Masih banyak tempat yang tidak diliputi oleh talian Internet di Malaysia di samping kemampuan untuk memiliki komputer riba (laptop) di kalangan mahasiswa yang berasal dari keluarga B40/M40. Adakah masalah ini akan mengganggu proses pendigitalan pendidikan tinggi ini?

Prof. Dr. Zaidatun: Tidak dinafikan kemudahan infrastruktur iaitu akses kepada talian Internet dan pemilikan peralatan komputer merupakan keperluan asas yang perlu ada bagi memastikan pendigitalan pendidikan tinggi dapat dilaksanakan di tahap optimum.

Isu ini dilihat sedang dan telah ditangani oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi inisiatif yang digariskan dalam Pelan Pendigitalan Pendidikan Tinggi Negara.

Antara inisiatifnya ialah Bantuan Pelan Data dan Peranti kepada pelajar bersasar.  Menerusi kolaborasi KPT dengan syarikat pembekal peranti dan telekomunikasi serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, peranti siswa dibekalkan kepada pelajar B40 secara bersasar.

Pihak Institusi Pengajian Tinggi (IPT) juga melaksanakan inisiatif yang sama bagi membantu pelajar mendapat akses kepada talian Internet.  Sebagai contoh, pihak Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi Unit Endowmen turut melancarkan Pinjaman Komputer Riba kepada pelajar B40 yang memerlukan.

Diharapkan inisiatif ini dapat diteruskan di masa akan datang bagi memastikan isu akses kepada talian Internet adalah minimum.  Disamping itu, mahasiswa dan ibubapa juga harus memainkan peranan utama dalam penyediaan kemudahan akses Internet dan peranti yang sesuai jika berkemampuan.

Bagi golongan B40 pula, mereka perlu cakna akan kepentingan inisiatif kerajaan dalam menyediakan kemudahan yang diperlukan dan memanfaatkannya untuk tujuan pembelajaran.

Amat sedih sekali apabila kita mendengar berita mahasiswa menyalahgunakan inisiatif pemberian percuma peranti siswa dengan menjualnya di laman e-dagang.  Kesedaran mengenai kepentingan kemudahan pembelajaran digital ini harus dipertingkatkan lagi dalam kalangan warga kampus.

UTM NewsHub: Dalam menjayakan agenda pendigitalan pendidikan ini, komponen terpenting adalah pensyarah. Apabila pengajaran dalam talian dilaksanakan, pensyarah tidak banyak pilihan selain memindahkan persekitaran pembelajaran fizikal kepada ruang maya. Pada pandangan Prof, sejauh manakah tahap kesediaan warga pensyarah di IPTA tempatan untuk mengendalikan pengajaran dan pembelajaran secara maya dari aspek pelaksanaannya?

Prof. Dr. Zaidatun: “Memindahkan persekitaran pembelajaran fizikal kepada ruang maya” adalah satu persepsi yang tidak tepat bagi pembelajaran dalam talian.  Pembelajaran dalam talian bukan sahaja menuntut kepada perpindahan persekitaran, ianya juga memerlukan transformasi kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) serta bahan pengajaran yang sesuai dengan persekitarannya.  Bukan itu sahaja, transformasi kepada pentaksiran yang dijalankan juga mesti dilaksanakan oleh para pensyarah.

Tahap kesediaan para pensyarah di IPT dalam mengendalikan P&P maya telah meningkat di Malaysia kesan daripada pandemik COVID-19 yang memaksa mereka melaksanakan P&P secara maya.  Walau bagaimanapun, dari aspek kemahiran melaksanakan P&P maya secara optimum dan kreatif menggunakan alatan teknologi yang ada masih di tahap sederhana.

Terdapat sebahagian pensyarah yang hanya membaca slaid Powerpoint menerusi Webex dan Zoom tanpa sebarang aktiviti pembelajaran aktif dengan pelajar.  Ini mungkin disebabkan penguasaan pengetahuan dan kemahiran P&P maya yang sederhana dalam kalangan mereka.

P&P maya bukan sahaja menggunakan bahan P&P konvensional sedia ada dan disampaikan terus menerusi alatan persidangan video.  Ianya memerlukan perubahan pendekatan bahan P&P serta aktiviti P&P yang sesuai dan mengoptimumkan kemampuan persekitaran maya.

Berdasarkan pemerhatian, pelaksanaan P&P maya dalam kalangan pensyarah ketika pandemik dan endemik masih di tahap sederhana.  Kini, di era endemik, terdapat pensyarah yang tidak menjalankan langsung P&P maya apabila P&P bersemuka dibenarkan.

Seharusnya mereka harus menjalankan pembelajaran teradun secara sokongan (P&P tradisional secara bersemuka disokong dengan beberapa sesi P&P dalam talian) dan pembelajaran teradun gantian (sebahagian daripada sesi P&P bersemuka dan fizikal digantikan secara dalam talian) bagi memastikan penguasaan kemahiran P&P maya dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Pelaksanaan P&P teradun gantian bukan sahaja melestarikan kemahiran digital pensyarah malah ianya dapat meningkatkan kemahiran digital dalam kalangan pelajar secara berterusan bagi menyediakan mereka dengan keperluan pekerjaan di masa hadapan.

Pada pendapat saya, IPT harus memastikan P&P teradun gantian dilaksanakan di institusi masing-masing bagi memastikan Pendidikan Tinggi Malaysia terus kompetitif seiring dengan perkembangan global.

UTM NewsHub: Mendepani keperluan semasa, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) juga secara konsisten terus memperkukuh agenda pendigitalan pendidikan yang lebih holistik melalui pemerkasaan infrastruktur, kelengkapan bilik kuliah, pengukuhan kurikulum dan sebagainya yang kesemuanya demi mewujudkan ekosistem pendidikan yang terbaik dan juga terkehadapan untuk manfaat IPT negara kita.

Pada pandangan Prof, apakah bentuk latihan yang boleh diberikan kepada golongan pensyarah ini supaya dapat menyampaikan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) melalui kaedah dalam talian ini dengan lebih berkesan?

Prof. Dr. Zaidatun: Latihan yang berterusan dan kendiri merupakan pendekatan latihan yang harus dipraktikkan oleh IPT bagi memastikan pensyarah dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran P&P maya mengikut kelapangan masa masing-masing.

Pensyarah yang sibuk dengan tugas selain daripada P&P dapat meneruskan pembelajaran meningkatkan kemahiran P&P maya mereka dengan adanya bahan latihan kendiri dan interaktif yang disediakan oleh IPT masing-masing.

Selain daripada itu, konsep mentor dan mentee juga boleh diperkasakan bagi memastikan pensyarah mendapat bantuan pakar apabila diperlukan.  Penubuhan kumpulan fokus mengenai P&P maya di peringkat fakulti juga perlu dilaksanakan bagi memberi sokongan informal kepada mereka yang memerlukan.

IPT bukan hanya perlu mengadakan bahan latihan kendiri, malah profil kompetensi pensyarah dalam P&P maya dan digital ini harus direkodkan secara formal.  UTM menerusi Pusat Pembangunan Bakat dan Kepimpinan Universiti dengan kerjasama UTM Center for Advancement in Digital and Flexible Learning (UTM CDex) sedang melaksanakan inisiatif ini yang pada pendapat saya amat bertepatan dengan keperluan masa kini.

UTM NewsHub: Apakah kesannya jika pendigitalan pendidikan tinggi ini tidak benar-benar dilaksanakan dan dimanfaatkan sepenuhnya sama ada kepada pensyarah mahupun mahasiswa amnya?

Prof. Dr. Zaidatun: Kesannya, rakyat Malaysia akan ketinggalan dari aspek penguasaan pengetahuan dan kemahiran digital yang merupakan kemahiran literasi pada masa kini.  Mahasiswa yang dihasilkan nanti akan menghadapi cabaran dalam menyesuaikan diri dengan suasana pekerjaan yang mana kebanyakan urusan kerja dilaksanakan secara digital di industri.

Para pensyarah pula akan ketinggalan dari aspek atribut pendidik tersedia masa hadapan yang mana P&P maya secara jarak jauh merupakan hala tuju Pendidikan tinggi dunia.

Kini, bukan sahaja kemahiran P&P maya adalah penting, kemahiran dan pengetahuan menggunakan aplikasi kecerdasan buatan dalam P&P seperti ChatGPT, ChatSonic, Midjourney dan lain-lain mesti diterokai oleh pensyarah bagi memastikan mereka masih relevan dalam P&P di IPT.

UTM NewsHub: Apakah kaedah penambahbaikan yang Prof, boleh cadangkan bagi memberikan ‘output’ terbaik bagi pendigitalan pendidikan khususnya pendidikan tinggi?

Prof. Dr. Zaidatun: Kaedah penambahbaikan yang boleh dilaksanakan ialah memastikan polisi dan pelan pendigitalan pendidikan tinggi jelas dari aspek perancangan dan pelaksanaannya.  Disamping itu, sokongan dari pihak pengurusan tertinggi IPT harus dipertingkatkan dan cakna dengan pelaksanaan polisi dan pelan yang dirancang.

Sokongan bukan sahaja dari aspek latihan peningkatan pengetahuan dan kemahiran, penyediaan infrastruktur dan sokongan kewangan yang mencukupi juga harus difikirkan oleh pihak IPT.

Penghargaan yang berterusan juga harus dipraktikkan bagi memotivasi pensyarah dan pelajar yang menjayakan agenda pendigitalan pendidikan tinggi.  Yang paling penting, ketua PTJ di fakulti iaitu Dekan harus memainkan peranan penting dalam memacu agenda pendigitalan digital di peringkat fakulti masing-masing.

Dengan pendekatan “kepimpinan melalui teladan” dan “pemimpin sebagai contoh terbaik”, para Ketua Pusat Tanggungjawap (PTJ) fakulti iaitu Dekan mesti menunjukkan contoh yang cemerlang dalam melaksanakan P&P maya secara optimum agar sebarang cabaran yang dilalui oleh rakan pensyarah turut dirasai dan ditangani secara bersama.

Saya amat berharap agar agenda Pendigitalan Pendidikan Tinggi akan berterusan malah bertambah rancak di IPT agar Malaysia tidak ketinggalan dalam arus digital global.  Ini baharu sahaja permulaan dan di masa akan datang, banyak lagi perubahan yang akan berlaku.

Maka, ayuh kita; warga kampus; mantapkan pengetahuan, kemahiran dan terus bermotivasi dan bersemangat serta positif kan fikiran ke arah Pendigitalan Pendidikan Tinggi di UTM.

Pendigitalan pendidikan perlu dipandang serius supaya graduan yang dihasilkan kelak tidak akan menghadapi cabaran dalam menyesuaikan diri dengan suasana pekerjaan yang mana kebanyakan urusan kerja dilaksanakan secara digital di industri – Gambar Hiasan

Explore More