PUTRAJAYA, 9 Mac – Fakulti Komputeran UTM telah mengadakan lawatan kerja ke Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) yang berpengkalan di Putrajaya. Objektif lawatan serta perbincangan utama memberikan tumpuan kepada halatuju program-program akademik di Fakulti Komputeran serta melihat potensi akreditasi penuh setiap program di bawah MBOT.
Kunjungan ini penting sejajar dengan keperluan UTM khasnya Fakulti Komputeran untuk menghasilkan bakat digital berorientasikan masa hadapan yang berdaya saing di peringkat global.
Dekan Fakulti Komputeran, Prof. Ts. Dr. Wan Mohd Nasir Wan Kadir mengetuai delegasi lawatan seramai 11 orang manakala MBOT diketuai oleh Pengarah Sekretariat Akreditasi Teknologi dan Teknikal (TTAS), Ts. Dr. Nor Aznan Mohd Nor.
Ts. Dr. Aznan dalam ucapan aluannya mengucapkan terima kasih atas kunjungan ini dan berharap ia mampu membuka ruang untuk kerjasama lain. Beliau juga berkongsikan mengenai perkembangan terkini MBOT yang meliputi pendaftaran, akreditasi program akademik dan libat urus yang sedang dijalankan bersama pemain industri dan institusi.
Sebagai rekod, MBOT ditubuhkan sebagai sebuah badan profesional untuk mendaftar dan mengiktiraf Teknologis Profesional serta juruteknik bertauliah.
Turut serta dalam lawatan ini ialah mantan Dekan Fakulti Komputeran, Prof. Dr. Abdul Samad Ismail.