April 30, 2024

Search
Close this search box.

Kursus Protokol dan Etiket Sosial perkukuh peranan “Event Ambassador” UTMKL

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Do the right thing at the right time at the right place. You do it right nobody remember if you do it wrong nobody forget”. Begitulah perumpamaan yang dilontarkan Tuan Haji Sophian Ab Rahman, penceramah Kursus Protokol & Etiket Sosial yang diadakan di Grand Petra, UTM Hotel & Residence anjuran Pejabat Strategi dan Hal Ehwal Korporat UTM Kuala Lumpur.

Tuan Haji Sophian merupakan Penolong Datuk Paduka Maharaja Lela di Istana Negara dan telah banyak mengendalikan kursus berkaitan protokol sama ada di pejabat kerajaan mahupon swasta.  Kredibiliti dan pengetahuan beliau yang luas dalam bidang ini melayakkan beliau pilihan yang tepat sebagai penceramah untuk pemantapan diri Event Ambassador UTM Kuala Lumpur.

Event Ambassador ialah staf yang telah dilantik oleh Pejabat Strategi dan Hal Ehwal Korporat (OSCA) UTMKL untuk menjadi pegawai tanggunggjawab kepada jabatan atau PTJ dalam pengurusan majlis rasmi universiti. Kursus ini diadakan bertujuan memberi pendedahan dan ilmu pengetahuan berkaitan protokol majlis rasmi yang melibatkan tetamu kenamaan (VIP) diperingkat universiti atau diperingkat jabatan. Kursus ini juga penting kepada mereka untuk membina keyakinan lebih tinggi apabila berhadapan dengan tetamu penting dan dapat berkomunikasi dengan baik dengan setiap pihak yang terlibat supaya setiap upacara rasmi berlangsung dengan lancar sekaligus memberikan imej yang baik kepada Universiti.

Kursus ini disertai 59 orang staf yang telah dilantik sebagai Event Ambassador yang terdiri dari pegawai dan staf sokongan dan terlibat secara langsung mengendalikan pengurusan majlis universiti di UTM Kuala Lumpur. Melalui kursus ini peserta akan didedahkan dengan pengetahuan berkaitan Protokol Istana, Pengurusan dan Pengendalian Majlis Rasmi Kerajaan, Peranan pegawai Protokol, Pegawai Pengiring dan Penyambut Tetamu, Penampilan Diri, dan Etiket Sosial di Meja Makan.

Tn Haji Sophian menerangkan kepentingan protokol majlis rasmi

Sepanjang kursus berlangsung Tuan Haji Sophian juga berkongsi pengalaman beliau dalam menghadapi isu yang sering berlaku dalam sesuatu majlis rasmi. Antara kesalahan yang sering terjadi ialah tetamu tidak mematuhi etika pakaian, susunan tetamu kenamaan yang tidak mengikut protokol dan susun atur kekananan, kesalahan dalam salutasi, pegawai pengiring dan penyambut tetamu yang tidak menjalankan peranannya dan urusetia yang tidak mempunyai pelan tindakan tambahan.

Antara aksesori yang dipakai dalam majlis-majlis rasmi.

Menurut Tuan Haji Sophian lagi, kesilapan memakai warna pakaian yang dikhaskan untuk Raja atau Sultan dalam satu-satu majlis adalah kesilapan yang paling banyak dilakukan lantaran tiada pendedahan dan pengetahuan mengenai protokol istana. Sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai institusi diraja, wajib untuk kita untuk mengetahui protokol istiadat istana.

“‘Following protocol will may you look good’ dan belajar protokol juga penting supaya setiap tetamu yang hadir pulang dengan kenangan yang manis,” katanya lagi.

Selain itu, para peserta juga berpeluang melihat dan belajar cara menggunakan aksesori pakaian ke majlis yang dibawa khas oleh Tuan Haji Sophian.

Penganjuran kursus ini diharap dapat membantu para Event Ambassador menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan cemerlang.

Peserta kursus bergambar bersama Tn. Haji Sophian.

Explore More