Disember 22, 2024

Sesi town hall platform Pengetua KRP santuni warga kolej

Oleh: Muhammad Aizi Mat Salim dan Muhammad Abdaini Jefri

JOHOR BAHRU, 15 Jan. – Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Rahman Putra (JKM KRP) telah berjaya menganjurkan Program Town Hall KRP bertempat di Dewan Seri Meranti, Kolej Rahman Putra (KRP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 11 Januari 2023 bermula pukul 8.00 hingga 11.00 malam. Seramai 120 orang peserta telah mendaftar diri bagi program ini. Program ini juga turut dihadiri oleh ahli buddies, ahli JKM KRP dan Majlis Felo KRP.

Program ini bertujuan memberi peluang kepada para pelajar untuk bertemu dengan pengurusan tertinggi KRP bagi menyuarakan pandangan, aduan dan masalah yang dihadapi oleh penghuni kolej kediaman. Selain itu program ini juga merupakan pentas bagi pihak pengurusan kolej untuk berkongsi informasi terkini berkaitan pengurusan pejabat kolej, pencapaian program, peraturan dan keselamatan serta mendapatkan maklum balas secara terus daripada para pelajar yang hadir.

Sesi Town Hall dimulakan dengan pembentangan oleh Pengetua KRP, Prof. Madya Dr. Mohd Haizal bin Jamaluddin berkenaan struktur organisasi KRP, program-program berimpak yang telah dianjurkan serta anugerah dan pencapaian yang telah diperoleh sepanjang tahun. Sesi dialog kemudian diteruskan bersama Pengetua KRP dan tiga lagi panel jemputan iaitu Pengarah Keselamatan UTM, En. Mohd Faizal Abd Latib; wakil Pejabat Am KRP, En. Aeirman Atan dan Pengerusi JKM KRP, saudari A’mila Syazwina Mohd Nizam.

Sesi soal jawab bersama penghuni KRP berlangsung dalam keadaan yang baik dan meriah. Kebanyakan persoalan adalah berkisar tentang kemudahan capaian UTM Wifi di Blok G30 dan G31, isu parkir kenderaan di blok kediaman, penggunaan fasiliti sukan seperti gelanggang futsal, bola keranjang dan bola tampar serta pertanyaan berkenaan permohonan bilik pada sesi baru melalui sistem merit dan Kuota Pelajar Aktif (KPA).

Penghuni KRP mengambil peluang bertanya soalan kepada ahli panel dalam sesi soal jawab Town Hall KRP.

Program Town Hall KRP ini diharapkan dapat memupuk perasaan muhibbah antara warga KRP UTM dengan pengurusan tertinggi KRP supaya segala maklum balas dan informasi terkini yang dikongsikan dapat menambah baik mutu perkhidmatan kepada penghuni kolej. KRP UTM juga menggalakkan dan mengalu-alukan cadangan yang membina daripada para pelajar untuk kesejahteraan bersama.

Explore More