KUALA LUMPUR, 19 Jan. – Delegasi Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terdiri daripada 125 pelajar termasuk pensyarah telah mengadakan lawatan ke Parlimen Malaysia.
Delegasi terdiri daripada pelajar Tahun 1 Sarjana Muda Pentadbiran dan Pembangunan Tanah serta Sarjana Muda Pengurusan Harta Tanah yang diiringi oleh Dr. Maryanti Mohd. Raid, Dr. Zafirah Ab. Muin, Dr. Aminah Mohsin dan Dr. Farin Ain Ismail Kassim.
Tujuan lawatan ini adalah untuk merapatkan jurang ilmu pengetahuan yang dipelajari secara teoritikal bagi subjek Malaysian Legal System dengan amalan praktikal daripada sudut pandang industri terutama dalam konteks bagaimana sistem perundangan sebenar dilaksanakan di Malaysia.
Selain itu, objektif lawatan ini adalah untuk meningkatkan rasa cinta dan taat setia kepada negara Malaysia serta memberi pendedahan kepada para pelajar tentang fungsi Dewan Rakyat dan Dewan Negara di Malaysia.
Sepanjang lawatan, para pelajar didedahkan dengan memberi gambaran sebenar bagaimana Parlimen menjalankan fungsinya sebagai forum untuk membincangkan perkara berkaitan negara dan rakyat.
Mereka telah diberi kesempatan memasuki Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta diberi penerangan khas oleh Bahagian Komunikasi Korporat Parlimen Malaysia iaitu Pn. Emelda, En. Zhafry dan Pn. Anis.
Melalui lawatan ini, ia memberi impak kepada nilai teras yang digarap oleh UTM di mana ia bukan sahaja merupakan usaha dalam melahirkan modal insan dan ilmuwan bertaraf dunia, malah memiliki keperibadian murni serta integriti.
Malah selaras dengan visi dan misi UTM, lawatan ini sebagai salah satu platform kepada para pelajar untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran berkesan dalam aspek komunikasi, kerja berpasukan dan menyumbang kepada pembelajaran sepanjang hayat.
Semoga pendedahan dan pengalaman ini dapat membuka minda para pelajar dengan lebih luas dalam mencapai kejayaan yang lebih cemerlang pada masa akan datang.