Disember 22, 2024

Penghuni KRP imbau nostalgia permainan tradisional

Oleh: Muhammad Aizi Mat Salim dan Shahrol Danish Shahrol Azlan

JOHOR BAHRU, 19 Jan. – Pertandingan sukan kampung yang menampilkan pelbagai acara sukan tradisional mengimbau nostalgia kepada lebih 150 orang penghuni KRP yang mengambil bahagian pada 14 Januari 2023 yang lalu bertempat di sekitar gelanggang sukan Kolej Rahman Putra (KRP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru.

Penganjuran sukan kampung yang julung-julung kalinya diadakan oleh Buddies yang merupakan pelapis kepada Jawatankuasa Kolej Mahasiswa, Kolej Rahman Putra (JKM KRP) bukan sahaja mengenengahkan budaya hidup sihat malahan merapatkan hubungan integrasi berbilang kaum di kalangan mahasiswa menerusi acara sukan tradisional. Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan dan kemeriahannya dapat dilihat melalui gelagat dan reaksi 30 kumpulan pelajar yang hadir mengambil bahagian dalam acara sukan kampung tersebut.

Pertandingan sukan kampung dimulakan dengan acara senamrobik yang diadakan di Dewan Merdeka, KRP seawal pukul 8.30 pagi. Pelbagai acara permainan tradisional dipertandingkan antaranya permainan galah panjang, bola kain pelikat, lari dalam guni, bola beracun, lari bertiga-tiga dan baling tin.

Gelagat para pelajar yang menyertai pertandingan sukan kampung di sekitar gelanggang sukan KRP UTM.

Majlis perasmian Sukan Kampung ini telah disempurnakan oleh Dr. Muhammad Aizi bin Mat Salim yang mewakili Pengetua KRP UTM, Prof. Madya Dr. Mohd Haizal bin Jamaluddin. Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Felo Penasihat, Pn. Siti Farahwahida binti Md. Nor; Pengarah Program,  saudara Shahrol Danish bin Shahrol Azlan, Majlis Felo dan JKM KRP.

Sesi penyampaian hadiah kepada sebahagian pasukan yang menjuarai pelbagai kategori yang dipertandingkan.

Program Sukan Kampung ini diharapkan dapat memupuk semangat kerjasama dan mengeratkan siraturahim dikalangan warga KRP UTM disamping mengamalkan budaya hidup sihat. KRP UTM juga menggalakkan para pelajar untuk kekal aktif menerusi aktiviti sukan dan rekreasi di kolej dengan menyertai kelab atau persatuan yang bersesuaian dengan minat dan kecenderungan mereka.

Explore More