April 25, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 22 Dis. – Sasaran utama Unit Endowmen, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada tahun 2023 adalah untuk meningkatkan pengumpulan dana Tabung Endowmen sebanyak RM20 juta dan ke atas berbanding sasaran pada tahun 2022 iaitu sebanyak RM15 juta.

Peningkatan ini dirancang untuk memberi lebih banyak bantuan kepada pihak yang memerlukan, terutamanya kepada pelajar yang berasal dari keluarga B40.

Pengarah Endowmen UTM, Prof. Madya Dr. Yusof Boon berkata pihaknya telah menggariskan sebanyak tiga strategi utama unit itu bagi 2023, iaitu menambah bilangan Sahabat Endowmen, meningkatkan kerjasama dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan juga Pusat Tanggungjawab di UTM, serta mempelbagaikan sumber penjanaan dana Tabung Endowmen UTM.

Beliau berkata demikian dalam wawancara dengan Hal Ehwal Korporat (HEK) di pejabat Unit Endowmen UTM Johor Bahru.

Menurut Dr Yusof lagi pihaknya akan mempergiatkan aktiviti kutipan dana melalui sumbangan individu dan korporat, di samping pelaksanaan projek khas yang telah dirancang untuk tahun 2023.

“Pelbagai projek khas sedang berjalan dan akan diperkasakan pada tahun 2023, di samping beberapa projek khas lain yang telah dirancang dan akan dilaksanakan. Antara projek khas yang sedang berjalan dan akan diperkasakan adalah penjualan cenderamata UTM di UTMart UTM Johor Bahru, di samping cadangan pembukaan UTMart di Residensi, UTM Kuala Lumpur pada tahun 2023, dan projek ini telah dipersetujui oleh Ahli Jawatankuasa Pengurusan dan Ahli Jawatankuasa Pemegang Amanah Endowmen UTM.

“Pada masa yang sama, Unit Endowmen sedang meneliti secara mendalam atas cadangan pembukaan UTMart di Stesen MRT Raja Uda – UTM apabila stesen tersebut dibuka dan memulakan operasi pada tahun 2023.

Berkaitan Sahabat Endowmen, Dr. Yusof berkata untuk menggerak dan memastikan aktiviti penjanaan Tabung Endowmen pada tahun 2023 berjalan dengan lancar, baru-baru ini Unit Endowmen telah melantik ramai Sahabat Endowmen yang terdiri dari staf UTM dari pelbagai jawatan dan gred serta PTJ, sama ada di UTMJB atau UTMKL, bagi membantu pihaknya melaksanakan pelbagai aktiviti.

“Iklan dan borang permohonan yang kami keluarkan untuk menjadi Sahabat Endowmen telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dan di luar jangkaan, dan pada masa ini kami telah pun mengeluarkan surat pelantikan kepada 34 orang staf UTM yang terdiri dari pelbagai skim perkhidmatan dari kampus Johor Bahru dan Kuala Lumpur untuk sama-sama menyertai aktiviti endowmen sepanjang tahun 2023”.

“Kami bercadang untuk libatkan juga mahasiswa UTM pada masa akan datang, tetapi memadai jika kita bermula dahulu dengan penglibatan staf untuk kami membuat penilaian sejauh manakah keberkesanan kaedah ini,” katanya.

Pihak UTM Endowmen juga akan meningkatkan kerjasama secara efektif bersama dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bagi menjayakan akvititi luarannya dalam membantu komuniti setempat.

“Untuk tahun 2023, kami telah bekerjasama dengan pihak Yayasan Budi Ihsan Malaysia (YBIM) dan juga Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) bagi menjayakan Program Kembara Masjid Nusantara 2023.

“Rancangan ini akan disiarkan sepanjang bulan Ramadan 2023, pukul 6.30 petang hingga 7.00 malam, seperti program Jejak Rasul yang disiarkan sebelum ini,” katanya.

Program ini memberikan fokus kepada kerja-kerja membaik pulih sebanyak 26 buah masjid uzur di seluruh Malaysia dengan dana yang diperlukan untuk pelaksanaan program ini adalah sebanyak RM7 juta, dan dana tersebut adalah sumbangan daripada orang ramai dan tajaan pihak korporat. Kami telah bersetuju sumbangan dana tersebut akan diuruskan oleh Unit Endowmen UTM.

Mengulas mengenai sumbangan dan kutipan daripada orang ramai, Dr. Yusof berharap agar penyumbang terus memberikan sumbangan kepada Tabung Endowmen UTM.

“Ini kerana kami memerlukan dana yang cukup untuk membantu mahasiswa UTM dan juga masyarakat sekitar dari golongan B40 agar dapat menikmati kehidupan sebagaimana insan lain,” katanya mengakhiri perbualan.

Prof. Madya Dr Yusof Boon, Pengarah Endowmen UTM

Explore More