April 24, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 8 Dis. – Sekumpulan penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya membangunkan sejenis krim yang berupaya mengekang pertumbuhan bakteria sekali gus menyembuhkan luka.

Krim yang dibangunkan dengan berasaskan bahan nanopartikel yang disintesis menggunakan ekstrak daun kesum ini telah diketuai penyelidikannya oleh Prof. Madya Ts ChM. Dr. Nik Ahmad Nizam Nik Malek beserta lima penyelidik dan tiga pelajar ijazah doktor falsafah (PhD).

Bercakap dalam sesi wawancara kendalian Pejabat Hal Ehwal Korporat di Makmal Bahan Nano, Jabatan Biosains, Blok T02, Dr Nik Ahmad Nizam berkata krim ini dihasilkan melalui teknik rebusan air yang dicampur dengan daun kesum, dan air rebusan ini digunakan sebagai bahan untuk penyediaan bahan nanopartikel tersebut.

“Bahan ini amat berkesan kerana ia mengandungi dua bahan yang boleh mengekang pembiakan bakteria pada luka iaitu ekstrak kesum dan juga bahan nanopartikel perak.

“Untuk makluman penggunaan krim ini tidak membahayakan kulit manusia kerana ujian telah dilakukan secara in vivo iaitu ke atas tikus makmal yang dilukakan dan dijangkitkan dengan bakteria dimana kami dapati hanya 10 hari masa diperlukan dalam menyembuhkan luka haiwan itu jika menggunakan bahan yang kami hasilkan,” katanya lagi.

Prof. Madya Dr Nik Ahmad Nizam Nik Malek menunjukkan krim penyembuh luka jenama Silvern yang dibangunkan oleh kumpulan penyelidikan yang diketuai olehnya.

Bercakap mengenai latar belakang produk ini, Dr. Nik Ahmad Nizam berkata beliau dan kumpulannya mula membangunkan produk ini sejak tahun 2018 lagi di bawah pembiayaan geran daripada UTM.

“Produk ini dibangunkan oleh para penyelidik yang datang dari pelbagai latar belakang kepakaran iaitu Biologi, Kimia, Sains Bahan dan juga Perubatan”.

“Hasil penyelidikan ini juga telah memenangi beberapa anugerah seperti INATEX 2021 yang berlangsung di UTM, dan Creation De UiTM anjuran Universiti Teknologi MARA pada 8 April 2022 di kampus Dengkil,” katanya.

Selain itu produk ini juga berjaya memenangi anugerah emas di Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa Tahun 2022 (PECIPTA’22) yang berlangsung di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada 2 November 2022 lalu.

Krim penyembuh luka Silvern

Explore More