Pengurus Pasukan Kanu Johor tamat pengajian Master di UTM

JOHOR BAHRU, 25 Nov. – Pengalaman sebagai Pengurus Pasukan dan juga Jurulatih bagi pasukan Kanu Johor telah banyak membantunya dalam melaksanakan penyelidikan berkaitan dengan Perancangan Latihan Sukan.

Graduan Ijazah Sarjana Sains Sukan, Mohamed Rafi Bin M.S Solaiman berkata perlantikannya sebagai Pengurus Pasukan dan Jurulatih bagi Pasukan Kanu Johor pada 2019 sangat membantunya dalam menyelesaikan pengajian ijazah sarjana yang diikutinya.

“Saya amat bersyukur kerana semuanya berjalan dengan seiring kerana perlantikan ini dibuat ketika saya sedang menyambung pengajian.

“Untuk makluman saya mengikuti pengajian Sarjana melalui kaedah penyelidikan yang memerlukan saya untuk melakukan kerja lapangan bagi tujuan mengumpul data. Bagi situasi saya, kebanyakan data yang diperlukan telah pun ada,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima ijazahnya dari Tunku Canselor, DYMM Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah pada sidang terakhir Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (MKUTM) ke-66 yang berlangsung petang tadi.

Sebagai pengurus pasukan dan jurulatih bagi pasukan Kanu Johor, Mohamed Rafi telah dipertanggungjawapkan untuk merancang dan mengatur aktiviti latihan sukan yang sememangnya bertepatan dengan bidang yang dipelajarinya.

Mohamed Rafi yang kini bertugas sebagai Pensyarah Jabatan Matematik, Sains dan Komputer di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) tamat pengajian dengan Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan pada tahun 2009 di UTM dan sebelum itu bergraduasi dengan Diploma Kejuruteraan Awam juga dari universiti sama.

“Ketika memulakan pengajian Sarjana Muda pada 2006, saya telah menukar bidang kerana mula terlibat dengan kerja-kerja pengurusan pasukan dan juga kejurulatihan bagi membantu atlet Politeknik Malaysia dan atlet Negeri Johor dalam bidang sukan.

“Sewaktu mengikuti kursus Sarjana Muda inilah saya mula menyedari kepentingan untuk membangunkan sebuah perisian perancangan latihan yang sistematik untuk jurulatih dan atlet kerana kaedah menyediakan perancangan latihan sedia ada sukar dihasilkan katanya.

Selain memegang jawatan hakiki sebagai Pensyarah, Mohamed Rafi juga dilantik sebagai Ketua Jabatan Sukan, Kokurikulum dan Kebudayaan di PIS. Baru-baru ini beliau telah menerima Pingat Emas, Anugerah Akademia Sukan dan Kokurikulum Politeknik Ibrahim Sultan.

Mengulas mengenai pelan masa hadapannya, Mohamed Rafi berkata beliau berharap agar diberikan peluang untuk menyambung pengajiannya di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) supaya dapat meneruskan penyelidikan dalam bidang sains sukan.

“Sewaktu menuntut di peringkat sarjana saya ada membangunkan sebuah perisian berkenaan perancangan latihan sukan. Jika diberikan peluang dan ruang untuk menyambung PhD, mungkin saya boleh menambah baik inovasi ini untuk faedah generasi sukan pada masa hadapan,” katanya lagi.

Untuk rekod, pasukan Kanu Johor yang diuruskan oleh Mohamed Rafi telah berjaya merangkul sebanyak 23 pingat emas di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2022. Semoga dengan kejayaan ini dapat menjadi titik tolak untuk membantu meningkatkan bidang sains sukan di Malaysia amnya dan di Johor khasnya.