April 20, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 12 Oktober – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menjalankan Latihan Pengungsian Bangunan berskala besar yang melibatkan 3,200 pelajar baharu sesi kemasukan 2022/2023.

Latihan yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar ini juga melibatkan kakitangan Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) seramai 440 orang. Program ini diadakan bersempena pendaftaran kemasukan pelajar baharu dalam Minggu Mesra Mahasiswa UTM sesi 2022/2023.

Pengarah Bahagian Aktiviti dan Pembangunan Pelajar HEP, Prof. Madya Dr. Azlan Abd. Latip berkata latihan ini diadakan sebagai pendedahan kepada mahasiswa mengenai persiapan menghadapi bencana dan juga sebarang kemungkinan yang boleh berlaku.

“Selain memberikan nilai tambah kepada mahasiswa mengenai latihan kebakaran, program ini juga memberikan kami peluang untuk menguji pakai sistem kebakaran yang ada di Dewan Sultan Iskandar

“Secara keseluruhannya latihan ini telah berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dan juga melalui eksesais ini, satu penilaian terhadap alat-alat pencegahan kebakaran seperti loceng kecemasan, pintu-pintu kecemasan, sistem siar raya, alat penggera, tempat-tempat berkumpul dan kemudahan lain telah dapat dibuat,” katanya.

Menurut Dr. Azlan lagi pemeriksaan ini penting kerana kebanyakan bangunan asal kampus UTM Johor Bahru telah berusia hampir 40 tahun dan segala kelengkapan ini harus dipastikan masih berfungsi dengan baik untuk keselamatan warga universiti ini pada masa hadapan.

Selain latihan kebakaran, mahasiswa ini juga diberikan taklimat intensif mengenai teknik pemadaman api dan pencegahan kebakaran oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang bekerjasama rapat dengan UTM sepanjang latihan ini dijalankan.

Turut hadir adalah Pengarah Bahagian Keselamatan UTM, Mohd Faizal Abd Latib yang mengetuai latihan ini secara keseluruhan.

Mahasiswa baharu dikumpulkan di hadapan DSI dan Fakulti Sains sebagai sebahagian dari langkah keselamatan dalam latihan kebakaran/pengungsian bangunan UTM.
Anggota JBPM yang bergerak ke DSI untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap.
Mahasiswa yang berkumpul di dataran Fakulti Sains menerima tunjuk ajar daripada kakitangan JBPM berkenaan dengan pencegahan kebakaran dan teknik pemadaman api menggunakan alat pemadam api.

Explore More