November 24, 2024

Search
Close this search box.

UTM Anjur Majlis Ramah Mesra Bersama Rakan Media Hargai Kerjasama Dan Sokongan Media

Penglibatan media cetak dan elektronik dalam mempromosikan sesebuah universiti sememangnya diakui peranannya dan tidak dapat dinafikan kepentingannya. Media menawarkan platform yang luas kepada masyarakat dalam menyampaikan maklumat, pengetahuan dan pendidikan terkini yang ditawarkan oleh universiti.

Malah, media turut membantu pensyarah dan penyelidik menyebar luas hasil penyelidikan dan buah fikiran yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan negara khususnya. Secara tidak langsung,ini telah memberikan impak positif sesebuah universiti dalam membina jenama pendidikan yang unggul di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Justeru itu, tidak dinafikan bahawa hubungan yang baik di antara universiti dan pihak media membawa situasi menang-menang (win-win situation) yang membawa faedah kepada kedua- dua pihak.

Menyedari pentingnya hubungan ini, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kampus Kuala Lumpur telah mengambil inisiatif untuk mengadakan majlis meraikan para pengamal media di sekitar Lembah Klang baru-baru ini bagi menghargai sumbangan mereka dalam memberi liputan terhadap UTM.

Majlis Ramah Mesra Bersama Rakan Media yang bertemakan ‘Syoknya Raya’ telah diadakan di Grand Petra Ballroom, Residensi UTMKL.  Pemilihan tema dibuat bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidil Fitri yang masih disambut dengan sangat meriah setelah dua tahun negara berada didalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membanteras wabak Covid-19.

 

Majlis ini dihadiri oleh ramai pengamal media arus perdana seperti RTM, Astro Awani, Berita Harian, Harian Metro, Didik TV, Jiji Press dan lain-lain. Pengurusan UTM pula dihadiri oleh Naib Canselor UTM, YBhg. Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi bin Ismail, Pro-Naib Canselor (Kampus UTM Kuala Lumpur), Prof. Ts. Dr. Abd Latif bin Saleh, Ketua Sekesyen Hal Ehwal Korporat UTM, Profesor Madya Ts. Dr. Dayana Farzeeha Ali, serta pegawai-pegawai kanan universiti yang lain.

Satu tayangan montaj khas klip berita dan video berkenaan UTM yang disiarkan oleh media telah dipaparkan untuk tatapan kepada rakan media.  Majlis diserikan dengan persembahan nyanyian Kugiran Mawar yang terdiri daripada staf-staf berbakat UTM, serta aktiviti seperti cabutan bertuah dan teka lirik lagu raya yang menawarkan hadiah-hadiah yang menarik. Aktiviti ini diadakan bertujuan mengeratkan lagi ikatan hubungan pengamal media dan pengurusan UTM.  Semoga ianya dapat dilaksanakan lagi di masa akan datang demi kepentingan mewujudkan hubungan baik jangka panjang antara universiti dan media.

Explore More