Disember 22, 2024

Oleh Prof. Madya Dr. Nanthakumar Loganathan, Fakulti Pengurusan UTM

JOHOR BAHRU, 12 Okt. – Kerajaan boleh mempertimbangkan untuk menggunakan Kad Pengenalan Malaysia (MyKad) bagi memastikan proses pengagihan subsidi yang lebih adil dan saksama kepada golongan sasaran yang telah ditetapkan.

Selain mengelakkan ketirisan pengagihan subsidi, penggunaan MyKad juga dapat memastikan subsidi dapat dijimatkan dan hanya diberikan kepada warganegara Malaysia sekali gus dapat mengelakkan daripada ia ‘dikongsi sama’ dengan bukan warganegara yang tinggal di negara ini.

Prof. Madya Dr. Nanthakumar Loganathan dari Fakulti Pengurusan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata sebagai permulaan kerajaan boleh mempertimbangkan untuk menggunakan MyKad bagi pembelian diesel, petrol, gas LPG dan juga pembelian barangan makanan mentah seperti tepung, telur dan keperluan seharian.

Kaedah dan pelaksanaan menggunakan MyKad merupakan langkah paling efisien dalam mensasarkan susbidi kepada golongan sasaran dalam demografi penduduk Malaysia yang layak menerima bantuan subsidi.

Arahan boleh dikeluarkan kepada mana-mana individu supaya mengemukakan MyKad sewaktu melaksanakan urus niaga pembelian barangan keperluan harian dan hanya individu yang mengemukakan MyKad sahaja yang layak menikmati kadar harga bersubsidi yang disyorkan oleh pihak kerajaan.

Melalui kaedah ini kerajaan berupaya mengawal jumlah tanggungan subsidi yang diberikan sekali gus memastikan bahawa bantuan ini tidak jatuh ke tangan warganegara asing yang tinggal di Malaysia.

Pihak kerajaan juga boleh menggunakan pangkalan data penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang dikemas kini sebagai platform menyalurkan bantuan.

Maklumat penerimaan bantuan seharusnya dihadkan kepada amaun tertentu supaya tidak berlaku ketirisan penyalahgunaan MyKad kepada pihak-pihak berkepentingan dan agensi kerajaan yang mengawal proses penyaluran subsidi seharusnya memantau penggunaan MyKad dan mengenakan tindakan sewajarnya kepada golongan yang menyalahgunakan MyKad ini untuk mendapatkan bahan-bahan rutin harian yang bersubsidi.

Unjuran perbelanjaan subsidi kepenggunaan yang berjumlah RM77.3 bilion setakat ini bagi 2022 adalah jumlah subsidi tertinggi di dalam sejarah yang pernah ditanggung oleh mana-mana kerajaan.

Unjuran subsidi kepenggunaan ini meliputi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) (RM37.3 bilion); minyak masak (RM4 bilion); tepung dan elektrik bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat, serta bil subsidi (RM9.7 bilion) tidak termasuk bantuan kebajikan lain.

Apabila ditambah dengan bantuan-bantuan lain seperti Bantuan Kebajikan Masyarakat termasuk Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) (RM11.7 bilion) dan lain-lain subsidi (RM14.6 bilion), jumlah keseluruhan subsidi setakat ini adalah RM77.3 bilion bagi 2022.

Jumlah pemberian subsidi yang terbesar dalam sejarah Malaysia ini sudah pastinya menuntut kerajaan untuk memikirkan langkah yang bersesuaian dengan peredaran masa dan keadaan supaya kewangan negara dapat dilestarikan dalam jangka masa yang panjang dan dasar pemberian subsidi yang diteruskan.

Mengulas mengenai pemberian subsidi dalam jangka panjang pula, Dr. Nanthakumar berpendapat bahawa terdapat dua pilihan pada kerajaan sama ada untuk meneruskan atau menghentikan pemberian subsidi ini bagi memastikan kelestarian kewangan negara pada masa hadapan.

Pemberian subsidi yang berteruskan akan membebankan kewangan kerajaan dalam jangkamasa panjang dan kelompok masyarakat B40 seharusnya diberikan ruang dan peluang untuk menyara kehidupan mereka tanpa perlu bergantung penuh kepada subsidi kerajaan semata-mata.

Pusat-pusat keusahawanan dan agensi-agensi berkaitan di bawah kementerian tertentu perlu merangka suatu program khusus yang mampu mengupayakan aktiviti penjanaan pendapatan bulanan kepada golongan ini secara berterusan.

Antara kaedah alternatif yang boleh dipraktikkan adalah melalui latihan asas kemahiran perniagaan, pertanian moden di bandar, mewujudkan platform perniagaan digital, kerja-kerja GIG yang berasaskan ‘kerja dari rumah’ dan pelbagai inisiatif kepada graduan-graduan kelompok B40 menceburi kerjaya berasaskan TVET yang sering memberikan pulangan pendapatan tetap yang berupaya membantu golongan ini mengharungi perkembangan ekonomi yang kian mencabar.

Mentaliti dan sikap golongan B40 perlu diubah dari “rakyat bersubsidi” kepada “rakyat berdaya saing” dalam mengharungi perkembangan ekonomi semasa.

Kewujudan golongan B40 seakan-akan menjadi satu bebanan kepada kerajaan kerana sentiasa perlu diberikan perhatian khusus dari aspek agihan pendapatan. Bebanan subsidi kepada golongan ini tidak akan berakhir jika langkah penyelesaian tidak dipraktikan.

Jika kerajaan mengambil keputusan untuk meneruskan sistem pemberian subsidi ini maka langkah kelestarian perlu diambil bagi memastikan subsidi yang diberikan dapat diteruskan kepada generasi akan datang.

Pihak kerajaan boleh memberi fokus pemberian subsidi kepada bahan-bahan keperluan asas sahaja dan bukannya pemberian pukal secara menyeluruh. Sebagai contoh, mengekalkan pemberian subsidi bahan api (RON95), minyak masak dan makanan harian wajib rakyat.

Di kala isu kenaikan harga barang kian mendapat perhatian, perkara ini boleh di kawal melalui undang-undang kawalan dan pencatutan yang telah digazetkan yang bukan sahaja diwujudkan pada musim perayaan, sebaliknya diteruskan setiap masa dengan kerjasama pihak pengeluar dan pemborong secara kolektif supaya tidak wujud krisis harga makanan dalam negara serta kartel dari kalangan pemborong serta orang tengah.

Subsidi perlu dikekalkan dan dilaksanakan secara berhemah tanpa merugikan pihak kerajaan dalam jangka masa panjang.

Situasi ekonomi pasca pandemik COVID-19 telah ‘menjentik’ pemikiran kita semua untuk berfikir apakah masih relevan untuk sistem pemberian subsidi pukal ini diteruskan. Mengulas mengenai perkara ini Dr Nanthakumar berkata pasca-pandemik kian menghampiri ke penghujungnya dan kerajaan perlu memikirkan strategi terbaik untuk mengembangkan ekonomi negara dengan melestarikan rantaian perniagaan supaya kembali ke landasan sebenar.

Peniaga dan pengeluar kini cuba meningkatkan harga dengan memberikan alasan wujudnya peningkatan kos pengeluaran. Perkara ini boleh di atasi dengan mengurangkan atau menghadkan rantaian perniagaan (business cycle) dan mengurangkan penglibatan kartel perniagaan.

Jika agenda ini mampu dilaksanakan, maka sistem subsidi negara akan berdaya saing dan sedikit sebanyak mengurangkan bebanan kerajaan dalam jangka masa panjang. Kerajaan perlu memfokuskan kepada pemberian subsidi yang produktif dan bukannya subsidi yang membebankan kewangan kerajaan.

Sepertimana dilakukan di negara Barat, pemberian subsidi berasaskan demografi penduduk yang diuruskan oleh badan khusus yang memantau, menyalur dan membantu golongan penerima subsidi supaya tidak membebankan kerajaan secara berterusan dalam jangka masa panjang.

 

Pengumuman subsidi untuk rakyat Malaysia bagi 2022.

Explore More