November 22, 2024

Search
Close this search box.

Kita kerap mendengar berita  tentang salah laku pemimpin dalam pelbagai jenis organisasi di Malaysia. Antara perkara negatif atau salah laku yang biasa mereka lakukan adalah tidak kompeten dalam memimpin, menggunakan gaya kepimpinan yang tidak sesuai, tidak berkomunikasi dengan efektif, bergaduh dengan subordinat, terlalu “bossy”, menindas subordinat, melanggar displin, mementingkan kepentingan peribadi dengan mengambil rasuah, tidak adil dalam memberi tender dan lain-lain lagi.

Sebelum mereka dilantik menjadi pemimpin di sesebuah organisasi, sudah pasti mereka telah dihantar untuk mengikuti kursus dan latihan berkaitan kepimpinan, pengurusan dan lain-lain lagi. Ilmu dan kemahiran yang diperolehi daripada kursus dan latihan yang dihadiri akan membantu mereka untuk memantapkan diri dalam memimpin subordinat  dengan cemerlang.

Tetapi malangnya, apabila mereka mulai memimpin, mereka seolah-olah hilang arah untuk memimpin dengan berkesan.

Kepimpinan autentik adalah satu gaya kepimpinan yang memberi fokus kepada  ketelusan, ketulenan dan kejujuran. Pemimpin autentik membina hubungan yang tulen dan baik dengan subordinat mereka dengan memberi inspirasi kepada kepercayaan dan memupuk persekitaran kerja yang sihat.

Kepimpinan autentik  memberi tumpuan jangka panjang pada matlamat organisasi, bukan matlamat peribadinya, dengan keupayaan untuk memberi inspirasi kepada subordinatnya untuk berjaya dan cemerlang.

Empat (4) komponen utama kepimpinan autentik  adalah seperti berikut:

Kesedaran Diri: Pemimpin autentik menilai kelemahan, kekuatan dan nilai yang ada dalam diri mereka sendiri untuk menjadi lebih tulen dengan ahli pasukan. Mereka juga mempraktikkan kesedaran diri dengan muhasabah diri, meminta maklum balas daripada orang sekelilingnya dan mempunyai kesedaran tentang perasaan subordinatnya. Kesedaran diri ini menunjukkan kepada subordinatnya bahawa pemimpin mereka walaupun mempunyai kuasa yang besar namun mempunyai hati yang baik sehingga mampu memproses perspektif sendiri sambil mempertimbangkan hak orang lain.

Pertimbangan yang adil dan seimbang: Apabila membuat keputusan, pemimpin autentik ini selalu mempertimbangkan kedua-dua pendapat yang menyokong dan menentang kepada perkara yang diutarakan. Pemprosesan jenis ini menggalakkan subordinat dengan rela hati dan berbesar hati untuk berkongsi pendapat dan pengalaman  mereka bersama pemimpin dan rakan sekerja yang lain  sambil mengelakkan kemungkinan  wujudnya konflik.

Pemprosesan yang adil dan seimbang menunjukkan bahawa setiap subordinatnya dihargai dan pemimpin autentik tidak bersikap dingin dan mementingkan diri sendiri malah mereka menjadi pendengar yang sangat baik. Perlakuan pemimpin autentik ini memberi impak positif kepada subordinat dan akan menyumbang kepada kecemerlangan organisasi.

Ketelusan Perhubungan: Pemimpin autentik bersikap telus dalam perhubungan di tempat kerja mereka dan mereka tetap jujur ​​apabila berkongsi fikiran dan perasaan mereka sendiri. Ini mungkin termasuk menawarkan maklum balas yang membina kepada ahli pasukan apabila diperlukan, serta belajar untuk mengakui apabila mereka melakukan kesilapan dan bukan menyalahkan orang lain.

Dengan berbuat demikian, pemimpin autentik selalunya menjadi “role model’ , memimpin melalui teladan dan memupuk ketelusan dalam kalangan pasukan dan organisasi.

Perspektif Moral Dalaman: Pemimpin autentik mempunyai teras etika dan mereka tahu perkara yang betul untuk dilakukan serta mengambil kira etika yang betul dan mementingkan kepada keadilan. Seorang pemimpin yang autentik mengutamakan keperluan organisasi, pasukannya dan pelanggannya berbanding dirinya sendiri.

Mereka memberi fokus yang jitu dalam melaksanakan perkara yang betul untuk kejayaan jangka panjang organisasinya dan bukan untuk kepentingan peribadinya. Seorang pemimpin autentik mempunyai nilai etika dan integriti yang kukuh, dan mengamalkan ciri-ciri ini walau dalam apa keadaan sekalipun.

Diharapkan pemimpin masa kini dapat mengamalkan kepimpinan autentik sebagai tambahan kepada gaya kepimpinan yang telah sedia ada, agar mereka berupaya memimpin organisasinya dengan lebih seimbang, bukan sahaja memberi fokus kepada kejayaan dalam mengaut keuntungan sahaja tetapi juga memberi fokus kepada ketelusan, ketulenan dan kejujuran serta nilai murni dalam kalangan warga di dalam organisasi yang dipimpin.

Explore More