April 19, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 19 Okt – Model asal kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang dihasilkan pada akhir tahun 1970-an kini dipamerkan bagi tontonan umum di Perpustakaan UTM.

Pihak Perpustakaan UTM di bawah Unit Galerium telah memperolehi model kampus ini daripada Pejabat Harta Bina pada sekitar tahun 2012.

Pustakawan Kanan Seksyen Galeri, Bahagian Ilmu Pengetahuan Institusi, Perpustakaan UTM, Nabilah Jamil berkata model kampus yang berusia 44 tahun ini telah menjalani proses kerja konservasi yang dilaksanakan oleh staf Seksyen Galeri yang mengambil masa selama 4 bulan (April sehingga Julai 2018).

“Proses yang terlibat adalah proses konservasi kuratif iaitu merawat objek atau artifak yang mengalami proses deteriorasi dan juga proses restorasi mengembalikan barangan kebudayaan kepada keadaan yang sediakala dengan menggunakan bahan yang hampir sama dengan bahan asal.

“Seterusnya adalah kerja-kerja membuat penutup model daripada kepingan akrilik sebagai salah satu usaha memelihara dan memulihara artifak daripada ancaman persekitaran yang telah dilaksanakan oleh syarikat luar dan selesai pada 19 September 2019,” katanya.

Menurut Nabilah, proses kerja terakhir adalah kerja pemindahan artifak model kampus ini daripada bilik konservasi ke ruang GALERIUM UTM yang dilaksanakan pada 30 Oktober 2018 melibatkan kerjasama daripada pelbagai unit khasnya pihak Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM.

Penulisan berkaitan khazanah berharga Universiti ini juga telah diterbitkan dalam penerbitan ‘share@UTM-IK’, isu: 3/2022.

Konsep ‘share@UTM-IK’ adalah menyediakan pameran dalam bentuk hybrid yang ditambah nilai dan diinovasi agar menjadi lebih interaktif melalui elemen QR-Code bagi mendapatkan pakej maklumat yang lebih komprehensif atau secara maya menerusi 360° Virtual Tour di portal UTM Virtual Gallery.

Explore More