Disember 22, 2024

Oleh: Mohd Fadthul Ikmal Misnal

JOHOR BAHRU, 10 Okt. – Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail mengalu-alukan kedatangan 3,164 pelajar baharu UTM dengan menyampaikan amanat sulung beliau dalam program “An Evening with the Vice-Chancellor” bersempena Minggu Mesra Mahasiswa (3M) sesi 2022/2023.

“Manfaatkanlah masa saudara saudari semua dengan meneroka seberapa banyak ilmu dan pengetahuan sepanjang tempoh pengajian. Serlahkan potensi saudara saudari semua untuk menjadi pelajar terbaik.

“UTM sekarang rumah kedua saudara saudari. Ciptalah kenangan indah sepanjang berada di sini. Binalah hubungan yang baik dengan pensyarah-pensyarah, staf-staf dan rakan-rakan,” tambah beliau lagi.

“Suka saya ingatkan saudara saudari untuk berhati-hati apabila menggunakan media sosial. Fikir dahulu masak-masak sebelum ingin menulis dan memuat naik sebarang content di media sosial. One word can tarnish the reputation of the institution.

Be thoughtful and mindful before you write anything. Think beyond. Tulislah berdasarkan fakta dan angka,” tegas beliau.

Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi turut mengingatkan para pelajar akan kepentingan adab dan tatasusila, serta pembinaan jatidiri dalam membentuk karakter pelajar UTM yang beradab, berakhlak, bermaruah dan berbudi bahasa.

“Ingatlah pesanan dan nasihat ibu bapa sewaktu mereka menghantar saudara saudari mendaftar pagi tadi. In Sha Allah, pesanan itu akan menjadi panduan saudara saudari untuk menjadi insan yang lebih baik dari hari ke hari.

“Apa-apa pun yang saudara saudari kerjakan, ingatlah ‘Kerana Tuhan, Untuk Manusia’. Laksanakanlah dengan ikhlas kerana Tuhan. Laksanakanlah dengan niat untuk menyumbang kepada manusia sejagat.

“Saya harap kita berjumpa di dewan ini dalam tempoh empat tahun dari sekarang, untuk menyaksikan saudara saudari bergraduasi,” kata beliau ketika mengakhiri amanat sulung ini.

Program yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru turut disiarkan secara langsung untuk diikuti sama pelajar baharu yang mendaftar di UTM Kuala Lumpur.

Hadir sama dalam program ini adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin; Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Ts. Dr. Mohd Hamdan Ahmad; Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Sr. Dr. Hishamuddin Mohd Ali dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Dr. Rosli Md Illias, bersama-sama pegawai kanan universiti yang lain.

Explore More