April 25, 2024

Search
Close this search box.

100 Ahli Jawatankuasa Majlis Rasmi UTM Kuala Lumpur Diraikan Dalam Majlis Apresiasi ‘The Unsung Heroes’

KUALA LUMPUR, 6 Okt 2022:- ‘The Unsung Heroes’ adalah tema yang telah dipilih dalam majlis meraikan jawatankuasa UTM Kuala Lumpur yang bertugas di belakang tabir untuk majlis-majlis rasmi universiti. Majlis diadakan di The Sage, Residensi UTM Kuala Lumpur ini meraikan hampir 100 orang staf dari pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) UTMKL seperti Seksyen Pengurusan Perniagaan (BMS) dan Seksyen Projek dan Penyelenggaraan (SPP), Jabatan Timbalan Naib Canselor, UTM Digital, Unit OSHE, Pusat Kesihatan Universiti (PKU), Seksyen Keselamatan (BPKL), Pusat Islam, Perpustakaan dan lain-lain PTJ.

Majlis julung kali diadakan ini bertujuan untuk menghargai peranan dan tugas-tugas yang telah dilaksanakan oleh petugas yang menjalankan kerja-kerja belakang tabir demi memastikan kelancaran sesebuah majlis. Inisiatif ini telah diambil oleh Pejabat Strategi dan Hal Ehwal Korporat (OSCA) UTM Kuala Lumpur sebagai tanda penghargaan di atas komitmen dan kerjasama yang telah diberikan.

Antara kerja-kerja belakang tabir dalam sesebuah majlis rasmi ialah kerja-kerja persiapan susun atur perabut, hiasan landskap, sistem siar raya, rakaman video, konti teknikal, siaran langsung (live stream), unit keselamatan, unit lalu lintas, perubatan, termasuklah pengacara majlis, pengurus acara (Floor Manager), pembaca doa dan banyak lagi.

Beberapa networking games turut dijalankan bagi memeriahkan lagi majlis dan mengeratkan hubungan dan ukhuwah antara staf.  Staf yang berpeluang bermain permainan telah menerima cenderahati kenang-kenangan yang berupa barangan 50 Tahun UTM bagi meraikan ulangtahun UTM ke-50 pada tahun ini. Hadiah utama tajaan UTMHolding juga turut menjadi penarik utama dan telah diberikan kepada staf yang paling aktif sepanjang menjadi ahli jawatankuasa serta staf yang telah dinobatkan sebagai “Hero & Heroin of The Day” mengikut tema pakaian majlis iaitu Denim.

Sementara itu, seluruh warga OSCA turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua ahli jawatankuasa yang telah bertugas menjayakan majlis-majlis rasmi universiti demi menjaga reputasi baik universiti. Sesi alu-aluan telah diakhiri dengan gimik ringkas iaitu “tabik hormat” kepada semua jawatankuasa majlis yang diraikan dan dikategorikan sebagai “VIP” sebagai tanda terima kasih kepada semua staf yang hadir.

Majlis ini turut dihadiri oleh Pro-Naib Canselor (Kampus UTM Kuala Lumpur), Prof. Ts. Dr. Abd Latif Bin Saleh dan Ketua Pentadbiran UTM Kuala Lumpur, Tn. Hj. Mohd. Najib bin Masroom.

T-Shirt edisi terhad berkonsepkan rekaan ‘The Unsung Heroes’ telah dihadiahkan kepada semua jawatankuasa sebagai tanda kenang-kenangan majlis.  Semoga inisiatif ini dapat memberi suntikan semangat dan kegembiraan kepada semua jawatankuasa untuk terus berkhidmat dengan jaya demi nama baik universiti tercinta.

 

 

Kerana Tuhan, Untuk Manusia.

Explore More