April 20, 2024

Search
Close this search box.

UTM Terpilih Jadi Hos Pertandingan Akhir Debat Perpaduan Keluarga Malaysia 2022

JOHOR BAHRU, 13 Ogos – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah terpilih bagi menjadi hos kepada pertandingan akhir dan Majlis Perasmian Penutup bagi Program Debat Perpaduan Keluarga Malaysia Piala Menteri Perpaduan Negara tahun 2022.

Program yang dianjurkan secara kolaborasi antara UTM, Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan juga Celcom Axiata Berhad (Celcom).

Program Debat Perpaduan ini telah bermula 6 hingga 7 Ogos (Pusingan Awal) secara dalam talian diikuti peringkat Suku dan Separuh Akhir pada 12 Ogos yang berlangsung di Blok N24, UTM Johor Bahru.

Menteri Perpaduan Negara, Yang Berhormat Datuk Halimah Mohamad Saddique berkata objektif Program Debat Perpaduan Keluarga Malaysia  adalah mengasah pemikiran mahasiswa secara holistik dari aspek pemahaman dan penerimaan terhadap kepelbagaian agama, budaya dan adat resam masyarakat Malaysia.

Beliau berkata demikian sewaktu memberikan ucapan dalam majlis perasmian penutup yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar.

Turut menghadiri majlis adalah Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Dato’ Indera Noridah Abdul Rahim, Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, YBhg Dato’ Hjh Norison Ramli dan Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts. Dr Ahmad Fauzi Ismail.

“Program ini juga mampu membudayakan Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan melalui wahana perdebatan dan juga memupuk semangat perpaduan dalam kalangan mahasiswa institusi pengajian tinggi melalui pertukaran idea dalam perdebatan yang sihat,” katanya lagi.

Menurut Halimah lagi, Dasar Perpaduan Negara ialah dasar payung yang melakarkan usaha berterusan bagi memupuk, mengukuh dan memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat melalui konsep ‘Perpaduan Dalam Kepelbagaian’ untuk melestarikan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

“Tiga Nilai Utama dalam Keluarga Malaysia adalah meliputi Keterangkuman iaitu saling menghormati dan mengasihi sesama ahli keluarga diikuti Kebersamaan yang bermaksud sentiasa mencari titik persamaan dalam segenap perkara.

“Nilai ketiga dalam Keluarga Malaysia iaitu Kesyukuran iaitu sentiasa bersyukur dan berterima kasih dengan apa yang kita punyai,” katanya lagi.

Halimah kemudiannya menyampaikan hadiah kepada Juara Program Debat Perpaduan Keluarga Malaysia 2022 iaitu pasukan dari Universiti Malaya. Naib juara pula disandang oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Sebanyak 30 penyertaan telah diterima pihak penganjur yang terdiri dari Universiti Awam (16), Universiti Swasta (3), Universiti Pengajian Guru (7) dan juga Politeknik (4).

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamad Saddique bergambar kenangan dengan kesemua pemenang Program Debat Perpaduan 2022 di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru.

Explore More