November 14, 2024

Search
Close this search box.

Kerjasama SKM UTM-PPD Kota Tinggi Diperhebat, Pendidikan STEM Peringkat Akar Umbi Dipergiat

Kota Tinggi, 27 Jul. – Situasi bilangan pelajar Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang semakin berkurang dengan ketara di Malaysia mencetuskan kebimbangan, apatah lagi negara kita masih dalam fasa negara yang membangun. Menyedari hakikat bahawa Malaysia masih lagi memerlukan pakar Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) pada masa hadapan, Sekolah Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan Universiti Teknologi Malaysia (SKM UTM) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi (PPD Kota Tinggi), Pejabat Penghulu Mukim Kota Tinggi dan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan Karnival STEM & Inovasi Sosial bersama masyarakat sekitar Kota Tinggi bertempat di perkarangan Ruang Reka STIE (Sains, Teknologi, Inovasi & Ekonomi) Keluarga Malaysia Kota Tinggi.

Karnival ini diserikan dengan kehadiran Tuan Haji Fadil bin Ishak (Pegawai Pendidikan Daerah Kota Tinggi) selaku perasmi program, Penghulu Kanan Daerah Kota Tinggi, Prof. Ts. Dr. Muhamad Zameri Mat Saman (Pengerusi Program STIE Kota Tinggi – UTM), dan Prof. Madya Dr. Norizah Hj. Redzuan (Pengarah Program). Turut hadir dalam karnival ini adalah rakan strategik institusi pendidikan yang terdiri daripada Kolej Vokasional Kota Tinggi, Kolej Vokasional Kluang dan Politeknik Sultan Azlan Shah. Sementara itu, rakan strategik industri yang terlibat terdiri daripada Aimflex System Sdn. Bhd., Twenty Twenty Auto Garage, AMS Motorsport, AngahZuli Welder, Dniel Motorsport, Wan Hing Motor dan Humaira Garage. Di samping itu, kehadiran kira-kira 250 murid-murid sekolah rendah dan menengah sekitar Kota Tinggi, serta masyarakat Kampung Batu Ampat memeriahkan lagi suasana karnival tersebut.

Karnival pada pagi itu membuka tirai dengan pelancaran Minggu Sains Negara 2022 peringkat Daerah Kota Tinggi. Setelah itu, acara diteruskan dengan penyampaian watikah pelantikan Ikon Pintar STIE 2022/2023 dan perkongsian perjalanan Pertandingan Rekabentuk Kejuruteraan Jigs & Fixtures 2022 (JFED ’22) oleh Prof. Madya Dr. Aini Zuhra Abdul Kadir, selaku Pensyarah Penyelaras. Hadiah-hadiah pemenang JFED ’22 dan cenderamata kepada rakan strategik institusi pendidikan serta industri turut disampaikan pada akhir acara.

Selepas itu, rata-rata pengunjung tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi pameran teknologi dan inovasi yang dibawa dari SKM UTM bertempat di Ruang Reka STIE. Para pengunjung dilihat amat teruja melihat dan merasai pengalaman demonstrasi projek pengaturcaraan Arduino, demonstrasi rekabentuk kejuruteraan jigs & fixtures, demonstrasi pencetakan 3D dan pameran keselamatan & ergonomik di ruang kerja.

Secara keseluruhannya, Karnival STEM & Inovasi Sosial menjadi satu platform yang amat baik untuk menyemai minat anak-anak muda untuk meminati dan seterusnya menceburi bidang STEM, sebagai pilihan utama menyambung pengajian dan laluan kerjaya di masa hadapan. Dalam masa yang sama, program ini menjadi medan yang sesuai bagi penyelidik-penyelidik STEM UTM khususnya dari SKM UTM untuk turun padang bagi membantu masyarakat menyelesaikan masalah berbantukan kepakaran-kepakaran yang dimiliki, sekali gus menepati hasrat Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) dalam usaha untuk merakyatkan sains dan menginsankan teknologi.

“Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi”

“Kelestarian Ilmu Ke Arah Masyarakat Berinovasi”

Barisan penyelidik UTM terlibat: Prof. Madya Dr. Norizah Hj. Redzuan, Prof. Madya Dr. Aini Zuhra Abdul Kadir, En. Khidzir Zakaria, Ts. Dr. Mohd Azlan Suhaimi, Dr. Rozlina Md Sirat, Ir. Ts. Dr. Nor Hasrul Akhmal Ngadiman, En. Roslin Yasak, Pn. Kasmawati Gumanti, En. Muhamad Nor Firdaus Zainal & En. Mohd Fadthul Ikmal Misnal.

Explore More