April 25, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 16 Julai – Sebanyak RM4.74 juta telah berjaya dikumpulkan melalui aktiviti penjualan meja, penajaan dan sumbangan daripada syarikat korporat, industri, alumni, staf, pelajar dan individu bagi acara Universiti Teknologi Malaysia Royal Gala Dinner 2022.

Program ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Canselor UTM, DYMM Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah di Persada Johor malam tadi.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail dalam ucapannya berkata majlis dwi-tahunan yang dianjurkan sejak tahun 2012 ini merupakan sebuah platform pengumpulan dana untuk disalurkan kepada pelbagai tabung kebajikan pelajar yang tidak berkemampuan di UTM seperti Tabung Endowmen, Wakaf Pendidikan dan Because We Care Chancellor’s Fund. 

“Sumbangan wang yang diperolehi daripada tajaan meja dan kerusi Majlis UTM Royal Gala Dinner 2022 akan digunakan untuk membiayai pengajian para pelajar UTM khasnya daripada kelompok B40 yang memerlukan pembelaan untuk mendapatkan pendidikan berkualiti.

“Selain kebajikan pelajar, dana ini juga akan disalurkan bagi tujuan aktiviti penyelidikan dan akademik yang memerlukan pembiayaan demi menjana kecemerlangan UTM di persada dunia khasnya dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluannya di Majlis Perasmian UTM Royal Gala Dinner 2022 yang turut dihadiri oleh Yang Amat Mulia Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam, YBhg Tan. Sri. Dr. Salleh Mohd Nor, Pro-Canselor UTM dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Azman Mokhtar.

DYMM Raja Zarith Sofiah yang juga Raja Permaisuri Johor telah turut berkenan menyempurnakan pelancaran tiga buah buku bertajuk “Menelusuri Lima Dekad Pembangunan UTM”, “Kepimpinan Berwawasan Universiti Sanjungan Bangsa”, dan “Penyelidik Berimpak, Mensejahterakan Masyarakat” untuk jualan serta manfaat umum. Baginda juga berkenan untuk menyempurnakan pelancaran usaha program Serambi Al-Quds yang bertujuan untuk mengumpul dana bagi menawarkan biasiswa kepada pelajar Palestin yang cemerlang untuk menyambung pengajian Doktor Falsafah di UTM. Sehingga kini, Serambi Al-Quds telah menerima sumbangan sebanyak RM2.2 juta.

Ketibaan DYMM Tunku Canselor, DYMM Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah di UTM Royal Gala Dinner 2022 diiringi oleh Naib Canselor UTM, YBrs Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail.
DYMM Raja Zarith Sofiah memberikan titah perasmian UTM Royal Gala Dinner 2022 dengan diiringi oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail.
Naib Canselor UTM menerima replika cek sumbangan dari Yayasan JCorp berjumlah RM500,000.00 dari Pengerusi Yayasan JCorp, Rozaini Mohd Saini.
Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port Berhad, Md Derick Basir (paling kiri) menyerahkan cek sumbangan bernilai RM2,000,000.00 kepada Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail dengan disaksikan oleh DYMM Canselor UTM, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah dan Cik Puan Besar Khaleeda Bustamam.

Explore More