April 26, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 28 Ogos – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Pihak Berkuasa Pembangunan Iskandar (IRDA) dan juga syarikat pelupusan sampah, Southern Waste Management (SWM) telah menganjurkan program kitar semula bahan buangan.

Program yang dinamakan sebagai Siri Pandu Lalu@ Iskandar Puteri Rendah Karbon ini telah berlangsung di Dataran UTM dan  disempurnakan perasmiannya secara bersama oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, Datuk Bandar MBIP, Dato’ Haji Mohd Haffiz Hj Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif IRDA, Datuk Dr Badrul Hisham Kassim pagi ini.

Dari kiri Ketua Pegawai Eksekutif IRDA, Datuk Dr. Badrul Hisham Kassim, Datuk Bandar MBIP, Dato’ Haji Mohd Haffiz Haji Ahmad dan Naib Canselor UTM ketika perasmian Program Kitar Semula Pandu Lalu@UTM

Dalam ucapan perasmian program, Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi berkata,“Program sinergi antara UTM, MBIP, Iskandar Regional Development Authority (IRDA), Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), SWM Environment Sdn. Bhd. dan lain-lain rakan kerjasama ini juga merupakan manifestasi kita dalam membudayakan amalan lestari dan usaha rendah karbon demi mensejahterakan kehidupan masyarakat khususnya di Iskandar Puteri”.

Menurut Pengurus Projek, Nurul Amrie Abdullah, program ini telah mendapat penyertaan dari tiga syarikat pelupusan dan kitar semula dari seluruh negara.

“Antara yang menyertai adalah SWM dengan menerima kotak-kotak terpakai dan juga barangan elektrik dan elektronik yang tidak lagi boleh digunakan.

“Syarikat Kloth Care juga ada menyertai dengan menerima pakaian terpakai pada harga yang berpatutan,” katanya lagi.

“Syarikat Apeiron Bioenergy yang berpengkalan di Ulu Tiram, Johor menerima minyak masak terpakai pada harga yang memuaskan. Pengguna hanya perlu mengisi minyak masak berkenaan pada botol-botol terpakai tanpa mengira saiz dan minyak masak anda akan ditimbang.

“Kakitangan syarikat akan membuat bayaran secara tunai sejurus proses timbangan dilakukan. Syarikat ini mempunyai kepakaran untuk memproses semula bahan ini sebagai bio-diesel,” tambah beliau.

Penyertaan murid-murid Tadika Ihsan UTM semasa program

Nurul Amrie berkata pengguna yang datang dengan kenderaan masing-masing hanya perlu berhenti pada hentian mengikut barangan yang hendak dijualkan.

Bagi melanjutkan usaha pengumpulan fabrik terpakai, seunit tong bahan tersebut iaitu sumbangan daripada pihak Life Line Clothing Malaysia Sdn. Bhd. telah ditempatkan di Tasik Ilmu UTM sehingga 31 Disember 2022.

Turut hadir bersama adalah  Ketua Penolong Pengarah Kanan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Puan Nor Haliza Saibun, Pengurus Besar Korporat, SWM Environment Sdn Bhd., Mohd Norlisam Mohd Nordin dan Pengarah Pelestarian Kampus UTM, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd. Fadhil Md Din.

UTM akan terus berusaha mengadakan inisiatif-inisiatif lestari seperti ini yang mampu meningkatkan tahap kesedaran warga UTM dan komuniti setempat mengenai kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Pandu lalu kenderaan oleh pengunjung program
Warga UTM yang hadir membawa minyak masak terpakai
Sesi edaran buku “Puteri” bersempena Program Kitar Semula Secara Pandu Lalu@UTM
Pihak urus setia UTM

Explore More