Mei 15, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 27 Julai – Sejenis alat khas bagi membantu golongan buta warna telah dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik dari Sekolah Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Ketua Penyelidik, Prof. Madya Ir. Dr. Mohd Zarhamdy Md Zain berkata, tujuan alat ini dibangunkan adalah bagi membantu golongan buta warna ini bagi mengesan warna objek tertentu seperti baju, kertas, makanan dan lain-lain.

Alat yang dikenali ‘CFinder’ ini yang turut dibangunkan oleh penyelidik lain iaitu Dr. Maziah Mohamad, Dr. Syahril Ramadhan, Dr. Norazila Othman dan Dr. Mastura Ab Wahid juga mempunyai kemampuan untuk mengesan, mengenalpasti dan memberitahu pengguna tentang warna objek tertentu.

“Situasi buta warna ini terbahagi kepada dua jenis dengan yang pertamanya adalah orang yang tidak dapat membezakan warna merah dan hijau. Tetapi apabila melihat warna biru dan kuning mereka tidak akan mempunyai sebarang masalah.

“Jenis kedua ialah hanya boleh melihat beberapa warna sahaja manakala orang lain boleh melihat pelbagai jenis warna. Kebanyakan individu tidak dapat mengesan dengan sendiri bahawa mereka ada buta warna dan kerap menafikannya,” katanya.

Sesuai dengan tujuan ia dibangunkan, pengguna CFinder yang didatangkan dalam bentuk bulat dan juga tegak itu perlu mendekatkan alatan itu kepada sebarang objek dan pengesan bercahaya akan mengenalpasti warna yang dikesan dan maklumat akan disampaikan pada pengguna melalui alat pembesar suara yang dipasangkan pada peranti.

“Walaubagaimanapun pasukan kami masih lagi mencari jalan untuk melaksanakan beberapa penambahbaikan kepada alat ini seperti mengecilkan saiznya dan juga menggunakan pembesar suara yang lebih ‘mesra pengguna’ bagi digunakan di tempat awam.

“Tujuannya bagi memudahkan pengguna CFinder menyimpan alat tersebut di dalam poket seluar atau di dalam beg tangan dan boleh di gunakan pada bila-bila masa apabila diperlukan,” katanya lagi.

Menurut Dr. Zarhamdy, alat ini masih lagi di peringkat prototaip dan diberikan kepada mereka yang mengalami masalah rabun warna untuk mencuba keberkesanannya.

“Apabila proses penambahbaikan ini selesai, insyallah kami akan hasilkan alat ini bagi penggunaan sebenar untuk golongan OKU penglihatan.  Apa yang kami perlukan adalah sokongan dari segi kewangan dan perhatian pihak-pihak berwajib seperti Kementerian Pendidikan Malaysia- bahagian pendidikan khas dan sebagainya.

“Alat ini dihasilkan pada tahun 2018 di bawah bajet ‘TIER 1 UTM’ yang diberikan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjumlah RM40,000,00 bagi membolehkan kumpulan saya membangunkan alat ini,” katanya lagi.

Alat CFinder yang didatangkan dalam bentuk bulat (warna ungu) dan juga bentuk tegak (warna putih) bagi memberikan keselesaan kepada pengguna.

Explore More