April 16, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 29 Jun – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan juga Memorandum Perjanjian (MoA) dengan System Consultancy Services  Sdn Bhd (SCS), sebuah syarikat perunding sistem pertahanan dan keselamatan bagi menjalankan kerjasama strategik.

Kedua-dua memorandum berkenaan telah ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Sr. Dr. Hishamuddin Mohd Ali yang mewakili UTM dan Pengerusi Eksekutif SCS, Datuk Ir. Khalilur Rahman Ebrahim bertempat di Bilik Mesyuarat Utama (BMU), Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim (BCSI).

Prof. Hishamuddin dalam ucapannya menyatakan bahawa dengan termeterainya MoU ini, diharap akan menambah giat kerjasama antara UTM dengan SCS di atas dasar memorandum ini yang mampu mewujudkan dan merasmikan kerjasama antara kedua-dua belah pihak.

“UTM sentiasa mengalu-alukan peluang kerjasama yang akan memberi manfaat kepada universiti, rakan kerjasama dan rakyat negara yang tercinta ini.”

“Harapan saya agar persefahaman yang terjalin antara kedua-dua pihak  dapat meningkatkan lagi pertukaran dan perkongsian ilmu dan kepakaran antara UTM dan SCS dalam usaha mencapai visi, misi dan kecemerlangan organisasi masing-masing,” tambahnya ketika berucap pada majlis itu.

Hadir sama, Pengerusi Sekolah Komputeran UTM, YBrs. Prof. Ts. Dr. Wan Mohd Nasir Wan Kadir, Pengarah Bantuan Logistik Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), YBrs. Kol Muhammad Hood Elias TUDM dan Pengarah Urusan SCS, YBrs. Mejar (B) Mat Asis Mahnoon.

Selain MoU, UTM juga telah menandatangani MoA dengan SCS berkaitan dengan program khas akademik di peringkat Sarjana yang sedang dilaksanakan di UTM ketika ini.

“Penglibatan tiga pihak, iaitu UTM, ATM dan SCS menjadikan pelaksanaan program khas akademik ini dapat direalisasikan dengan jayanya.”

“Program khas ini disertai oleh 13 orang pegawai ATM yang berkelayakan dan merupakan kumpulan pertama mahasiswa Program Sarjana Komputeran Inovatif di UTM,” katanya lagi.

Majlis ini juga telah menyaksikan pelantikan Datuk Ir. Khalilur Rahman Ebrahim sebagai Profesor Adjung UTM dan menerima watikah pelantikan daripada Prof. Hishamuddin.

“Melihat kepakaran dan kredibiliti yang dimilikinya, kita yakin dan percaya Datuk Khalilur akan memberikan sumbangan idea dan kepakaran beliau kepada UTM sekali gus membantu universiti ini dalam mencapai visi dan misi yang telah ditetapkan,” tambahnya lagi.

Pengerusi Eksekutif SCS, Datuk Ir. Khalilur Rahman Ebrahim (dua kiri) dan Prof. Hishamuddin (dua kanan) menunjukkan dokumen MoA dan MoU yang ditandatangani oleh pihak UTM dan juga SCS bagi menjalankan kerjasama dalam bidang Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dan juga pembangunan akademik.

Explore More