Disember 19, 2024

KPT-UTM Anjur Bengkel Kelulut Moden Menggunakan Haif Teknologi Tinggi “Bee Modular Box”

Oleh : Rohaizan binti Khairul Anuar

BATU PAHAT, 24 Julai –Inisiatif perkasakan komuniti menerusi program pemindahan ilmu dan teknologi perlu diteruskan oleh Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) sebagai sumbangan kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, berkata ia selari dengan aspirasi Kementerian Pengajian Tinggi agar semua Universiti Awam memperbanyak program turun padang serta menyemarakkan lagi perkongsian ilmu dan kepakaran dengan komuniti menerusi Program “University for Society@Keluarga Malaysia” atau UNiTY.

“Universiti-universiti digalakkan mengambil komuniti angkat di lokaliti tertentu dan membangunkan mereka mengikut bidang kepakaran atau tujahan masing-masing.

Justeru, penganjuran bengkel Kelulut Moden Bee-Modular yang dianjurkan oleh Universiti Teknologi Malaysia hari ini amat bertepatan dengan hasrat KPT agar UA dapat menurunkan ilmu kepada penduduk setempat bagi memberi manfaat khususnya dalam upaya kita semua untuk menyantuni Keluarga Malaysia,” kata beliau semasa majlis perasmian Bengkel Kelulut Moden Bee-Modular Fasa 1 KPT-UTM di Parit Sulong hari ini.

Turut hadir bersama adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dr. Mohd. Zabri Yusoff, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (KPPT) KPT, Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar dan Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail.

Dalam majlis yang sama, Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Fauzi Ismail berkata, “Selepas kejayaan pihak UTM menghasilkan reka bentuk mesin yang berjaya meningkatkan produktiviti pengeluaran mee siput dari 80 kg ke 250 kg untuk sekali pengeluaran, kali ini UTM akan bawakan inovasi teknologi ternakan madu kelulut pula yang saya jangkakan mampu meningkatkan sosioekonomi masyarakat di kawasan ini.

Langkah strategik ini turut dapat membantu meningkatkan kecemerlangan serta keterlihatan universiti kepada masyarakat awam.” katanya.

Seramai 30 peserta yang terdiri daripada penduduk setempat telah dipilih untuk menyertai bengkel fasa 1 pemindahan ilmu dan teknologi “Bee Modular Box” bagi meningkatkan penjanaan pendapatan komuniti dengan mengaplikasikan inovasi yang dibangunkan oleh UTM.

Matlamat utama penganjuran bengkel yang mempunyai enam fasa ini adalah untuk memastikan peserta mendapatkan pengetahuan tentang asas perniagaan, pemasaran, penjenamaan dan kaedah pengurusan sistematik teknologi kelulut moden “Bee Modular Box”, dan akhirnya menjana pendapatan tambahan yang lestari untuk mereka.

Melihat kepada potensi pasaran madu kelulut dalam meningkatkan sosioekonomi komuniti setempat, khususnya golongan B40, UTM melalui Sekolah Perniagaan Azman Hashim (AHIBS) telah berjaya menghasilkan inovasi kekotak konkrit formulasi khas berteknologi tinggi untuk haif kelulut (Bee Modular Box) bagi menggantikan kekotak konvensional menggunakan kayu.

Inovasi dan teknologi “Bee Modular Box” ini adalah lebih berdaya tahan untuk jangka masa panjang serta mampu menghasilkan kualiti madu kelulut yang mencapai piawaian bertaraf antarabangsa.

Explore More