April 25, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 22 Jun – Satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah dimeterai antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Waqaf An-Nur Corporation Berhad (WANCorp) bagi membolehkan kerjasama strategik antara kedua-dua belah pihak.

Majlis menandatangani memorandum ini telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim dengan UTM diwakili oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail manakala Waqaf An-Nur diwakili oleh Ketua Eksekutifnya, Tn Hj. Bukhari Abd. Rahman.

Prof. Fauzi dalam ucapannya berkata secara spesifiknya kerjasama antara UTM dan WANCorp adalah di bawah projek Infaq Warisan yang berkaitan dengan perkhidmatan aplikasi GeoTrees dan projek GeoPusara yang merupakan sistem pengurusan kubur secara bersistematik.

“Program Infaq Warisan merupakan satu metodologi bagi tujuan mengumpul dana Infaq yang juga menjadi penghubung di antara penganjur, penyumbang, penaja dari pelbagai sektor, syarikat-syarikat korporat dan lapisan masyarakat dalam usaha meningkatkan sumbangan untuk Dana Klinik Waqaf An-Nur. 

Di samping itu juga, UTM dan WANCorp sedang berkerjasama membangunkan sistem pengurusan kubur secara bersistematik yang dinamakan GeoPusara,” katanya ketika memberikan ucapan aluan sebelum majlis berlangsung.

Sistem GeoPusara ini berupaya merekodkan data-data kematian melalui aplikasi mudah alih atau dengan menggunakan web portal dibangunkan dengan kepakaran UTM bagi memudahkan pihak WANCorp dalam merancang dan menguruskan tanah perkuburan di bawah pentadbiran syarikat ini.

Kerjasama yang menguntungkan kedua-dua pihak ini turut memberi peluang kepada para penyelidik yang terlibat untuk melaksanakan penyelidikan yang dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh sesuatu komuniti melalui inovasi teknologi.

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Sr. Dr. Hishamuddin Mohd Ali, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Ts. Dr. Mohd Hamdan Hj Ahmad dan juga delegasi tertinggi dari WANCorp.

Memorandum persefahaman yang telah dimeterai adalah simbolik bakal kerjasama diantara WANCORP dan UTM yang komited  melalui Pertukaran Kepakaran (Knowledge Transfer), generasi yang berpengetahuan (Knowledge Generation), Pembangunan Bakat (Talent Development), Penerbitan dan juga pembiayaan penyelidikan melalui geran yang dikeluarkan oleh pihak industri dan kerajaan demi kemakmuran dan kesejahteraan sejagat.

Ketua Eksekutif WANCorp, Tn Hj. Bukhari Abd. Rahman (kiri) bersama Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts. Dr Ahmad Fauzi Ismail menunjukkan dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani sebagai simbolik permulaan kerjasama strategik diantara dua organisasi.

Explore More