Disember 22, 2024

JOHOR BAHRU, 21 Jun – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) secara dua penjuru dengan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Johor (PSMCNJ) dan Warisan Alam Pengerang Resources (WAPR) bagi memajukan Pulau Tanjung Surat.

MOA ini telah ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Ts. Dr. Mohd Hamdan Ahmad selaku wakil UTM manakala Pengerusi PSMCNJ, Yang Berhormat Tan Sri Dr. Hj Azmi Rohani menandatangani bagi pihak PSMCNJ dan WAPR diwakili oleh Pengerusinya, Mohd. Fariz Johari.

Majlis menandatangani MoU ini turut disaksikan oleh Setiausaha PSMCNJ, Hj. Kamdi Kamil dan Setiausaha WAPR, Mohd Saren Hj Sarmon.

Kerjasama dengan pihak PSMCNJ dan WAPR diharap akan memberikan impak yang besar kepada kajian asal dan seterusnya membantu sosioekonomi komuniti tempatan dengan menjadikan pulau tersebut sebagai destinasi pelancongan utama di Johor.

Kepakaran ahli PSMCNJ dapat membantu mengetengahkan tokoh pemimpin serta sejarah dan warisan budaya masyarakat Johor suatu masa dahulu manakala WAPR sebagai syarikat yang mengkhusus kepada pencarian dan pengumpulan bahan artifak lama akan membantu mengumpulkan artifak era pemerintahan Resident of Tanjung Surat dan Dato’ Penggawa Timur terutamanya yang berkaitan Sistem Kangchu di daerah Kota Tinggi dan tinggalan di Gedung Dato’ Penggawa Timur.

Prof. Hamdan berkata UTM telah menjalankan penyelidikan eko-warisan pelancongan di Pulau Tanjung Surat sejak tahun 2017.

“UTM telah menyumbang pelbagai kepakaran dengan lebih 300 orang mahasiswa daripada pelbagai disiplin berkongsi kemahiran mereka di Pulau Tanjung Surat.

Hasil yang telah dibangunkan adalah seperti Galeri Warisan, Tapak Bangunan Dato’ Penggawa Timur, Galeri Bakau, Galeri Jong, Galeri Nelayan serta Galeri Pendidikan STEM,” kata beliau.

Menurut beliau lagi, projek dengan kerjasama pihak KEJORA ini telah berjaya meningkatkan produk pelancongan di pulau ini serta membantu menjana ekonomi penduduk tempatan, di samping menjadikan pulau ini sebagai destinasi pelancongan sejarah dan warisan, landskap, budaya dan alam semula jadi.

Oleh itu, MoU antara UTM dengan pihak Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Johor dan Warisan Alam Pengerang Resources diharapkan akan dapat mempelbagaikan lagi aktiviti penyelidikan berkaitan sejarah dan warisan dan ianya dapat diperkembangkan dan memberi nilai tambah kepada sejarah dan warisan negeri Johor sedia ada.

Pulau Tanjung Surat merupakan sebuah pulau kecil yang terletak di muara Sungai Johor yang merupakan sebuah pusat pentadbiran bagi wakil Sultan Abu Bakar ibni Almarhum Temenggong Seri Maharaja Tun Daeng Ibrahim, Sultan Johor Era Moden yang pertama.

Pulau tersebut adalah pusat pentadbiran wilayah Johor Timur yang kawasannya meliputi dari Pengerang hingga Endau, di mana Dato’ Wan Jaafar bin Nong Yahya sebagai Dato Penggawa Timur mewakili Sultan Abu Bakar mentadbir wilayah tersebut.

Bangunan pusat pentadbiran di Tanjung Surat tersebut sekarang dikenali sebagai Gedong Dato’ Penggawa Timur dan di sinilah tempat tinggal beliau yang menjadi pusat pengumpulan lada hitam dan gambir yang diusahakan oleh peladang Cina Kangchu sebelum dieksport ke Singapura dan seterusnya ke Eropah.

Pelbagai fakta dan tinggalan sejarah khususya berkaitan Kesultanan Johor Moden telah ditemui di pulau tersebut dan beberapa buah galeri telah dibangunkan bagi membolehkan penemuan itu dikongsikan dengan masyarakat umum.

Bersempena majlis tersebut, satu pameran kecil usahasama antara UTM-PSMCNJ-WAPR berkaitan Sejarah Johor turut diadakan menampilkan terbitan penulisan serta bahan sejarah dan artifak tinggalan Sistem Kangchu seperti bahan tembikar dan tembaga telah dipamerkan serta alat timbangan yang digunakan dalam zaman Sistem Kangchu iaitu dacing pikul, kati dan tahil serta mata wang British dan negeri-negeri Selat dalam bentuk mata wang siling dan kertas.

Prof. Hamdan (itga kiri) bertukar dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pengerusi PSMCNJ, Yang Berhormat Tan Sri Dr. Hj Azmi Rohani.
Pengerusi WAPR, Mohd Faris Johari bertukar dokumen MoU dengan Prof. Hamdan Ahmad dalam majlis yang berlangsung di Perpustakaan Raja Zarith Sofiah, kampus Johor Bahru.
Prof. Hamdan (dua kiri) menyaksikan artifak bersejarah dalam pameran mini anjuran PSMCNJ di Perpustakaan Raja Zarith Sofiah sempena majlis menandatangani MoU antara badan itu dan UTM.
Melihat pameran gambar di seksyen pameran anjuran Warisan Alam Pengerang Resources (WAPR) di Perpustakaan Raja Zarith Sofiah.

Explore More