Disember 19, 2024

Jakarta, 9 Jun — Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Profesor Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail dan delegasi UTM telah membuat lawatan rasmi ke Badan Riset dan Inovasi Nasional (BRIN) Indonesia bertempat di Jakarta.

Dalam lawatan rasmi tersebut, BRIN dan UTM telah mengadakan perbincangan dua hala melibatkan Kecemerlangan Penyelidikan (Research Excellence) serta hal-hal berkaitan pengajian Sarjana dan Doktor Falsafah para penyelidik BRIN di UTM. Seramai 17 orang penyelidik BRIN sedang dan akan menjalani pengajian Pasca Siswazah di UTM secara penyeliaan jarak jauh.

Jalinan kerjasama dan hubungan baik antara UTM dan BRIN telah mula terjalin semenjak tahun 2015 melalui kerjasama dalam bidang penyelidikan iaitu bidang teknologi komunikasi gentian optik dan radar oleh pensyarah UTM, Prof. Ir Dr Sevia Mahdaliza Idrus dengan Dr Purwoko Adhi, Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia (LIPI).

Selanjutnya, pada 8 Februari 2022, satu Memorandum Perjanjian (MoA) telah dimeterai antara UTM dengan LIPI (Cohort 1, 2021).

Lawatan dan perbincangan di bangunan BRIN di Jakarta menjadi platform buat UTM untuk menjalin kerjasama rasmi bersama BRIN yang merupakan entiti penting untuk Indonesia, sebagai badan yang berperanan penting dalam menerajui kecemerlangan penyelidikan di negara terbabit untuk membina sebuah negara Indonesia Maju.

Pengerusi BRIN, Laksana Tri Handoko telah mengetuai sesi perbincangan bersama Naib Canselor dan delegasi UTM.

Sesi perbincangan ini kemudiannya disambung dengan sesi diskusi lebih mendalam bersama pegawai-pegawai BRIN yang mengetuai bidang-bidang strategik seperti Elektrik dan Elektronik, Tenaga, Biodiversiti dan Kesihatan.

Pada asasnya, BRIN dan UTM menyatakan komitmen untuk bersama-sama membangunkan Pusat Kolaborasi BRIN-UTM bagi membolehkan penyelidik kedua-dua pihak menjalin usaha penyelidikan yang lebih rapat dan memanfaatkan kedua-dua entiti, selain mewujudkan geran padanan (matching grant) dan membuat penulisan bersama (joint publication).

Pada masa hadapan, UTM dan BRIN akan meneruskan usaha-usaha untuk memajukan penyelidikan di kedua-dua institusi sebagai wahana membawa pembangunan lebih besar untuk Malaysia dan Indonesia.

Lawatan rasmi ini merupakan sebahagian Siri Jelajah Asia Naib Canselor UTM 2022 yang bertujuan untuk memperkuatkan jaringan antarabangsa UTM bersama universiti luar negara yang mempunyai jalinan kerjasama dengan UTM.

Semoga jaringan kerjasama strategik ini bakal membuahkan hasil yang lumayan demi sebuah rantau Asia Tenggara dan dunia yang cemerlang melalui penyelidikan berkualiti oleh para penyelidik yang membawa transformasi sosioekonomi kepada negara dan masyarakat antarabangsa.

Pejabat Naib Canselor UTM

Jabatan Canseleri

Explore More