April 25, 2024

Search
Close this search box.

25 Warga UTM Berjaya Tamatkan Kayuhan Sejauh 405km Sempena Sambutan UTM 50 Tahun

JOHOR BAHRU, 12 Jun – Seramai 25 orang warga Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang menyertai Program Kembara Kayuhan 50 Tahun UTM telah berjaya menamatkan kayuhan basikal sejauh 405km yang bermula dari kampus Kuala Lumpur.     

Program anjuran Pejabat Pelestarian Kampus (UTMCS) yang melibatkan kakitangan, pesara dan mahasiswa institusi ini memulakan kayuhan dari kampus Kuala Lumpur pada 8 Jun 2022 dengan pelancaran disempurnakan oleh Ahli Dewan Negara, Yang Berhormat Senator Dato’ Arman Azhar Hj Abu Hanifah.

Bercakap selepas menghadiri sesi perasmian penutup program ini yang berlangsung di Foyer Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim (BCSI), Timbalan Pengarah UTMCS kampus Kuala Lumpur, Prof. Madya Dr Shamsul Sarip yang juga Pengarah Program ini berkata aktiviti kayuhan sejauh 403km ini melibatkan empat ‘checkpoints’ bagi membolehkan peserta berhenti rehat sebelum memulakan perjalanan seterusnya.

“Kumpulan peserta yang diketuai oleh Pro- Naib Canselor kampus Kuala Lumpur ini memulakan pergerakan dari kampus Kuala Lumpur ke Bagan Pinang, Port Dickson dengan jarak kayuhan 101km pada hari pertama diikuti ke Pantai Siring, Melaka dari Bagan Pinang dengan jarak 86.8 km pada hari kedua.

Hari Ketiga pula mencatatkan pergerakan dari Pantai Siring ke Batu Pahat dengan jarak 85.5 km dan hari seterusnya ke UTM Johor Bahru dari Batu Pahat dengan catatan jarak 122km,” katanya lagi.

Mengulas lanjut mengenai program ini, Dr Shamsul yang juga menyertai kayuhan ini berkata tidak mudah bagi semua peserta menamatkan aktiviti ini.

“Kami terpaksa mengharungi cuaca panas sepanjang perjalanan ini tidak mudah bagi peserta. Namun berbekalkan semangat yang tinggi, faktor cuaca ini tidak menjadi penghalang kepada pasukan kami untuk terus mara sehingga berjaya menamatkan kayuhan.

Ini kami lakukan bagi mencapai objektif utama program iaitu menggalakkan warga universiti menjadikan aktiviti rekreasi dalam memperkasakan ‘Work Life Balance’ dalam kehidupan harian,” katanya lagi.

Majlis perasmian penutup bagi program Kembara Kayuhan 50 Tahun UTM ini disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Iskandar Puteri, YB Tuan Haji Pandak Ahmad. 

Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarbangsa), Prof. Sr. Dr Hishamuddin Mohd Ali dan Pengarah Pejabat Pelestarian kampus UTM, Prof. Ir. Dr. Mohd Fadhil Md. Din dan Pro Naib Canselor (Kampus Kuala Lumpur), Prof. Ts. Dr. Abd Latif Saleh.

Program Kayuhan ini adalah sebahagian dari aktiviti yang dijalankan oleh pihak universiti sempena sambutan penubuhan UTM yang ke-50 tahun pada April lalu.

Ketua Pasukan Pengayuh UTM, Prof. Ts Dr Abdul Latif Salleh beramah mesra dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Iskandar Puteri, YB Pandak Ahmad (dua kanan) ketika tiba di UTM Johor Bahru. Turut menyertai perbincangan adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Sr. Dr Hishamuddin Md Ali (tiga kiri).
Prof. Ts Dr Abdul Latif Salleh (paling kiri) mengiringi ADUN Iskandar Puteri, YB Pandak Ahmad (dua kiri) dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Sr. Dr Hishamuddin Mohd Ali menyempurnakan pemasangan kepingan gambar lengkap poster Program Kayuhan 50 Tahun UTM sebagai simbolik penutupan program di Foyer Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim (BCSI), kampus Johor Bahru.
Pasukan pengayuh UTM ketika baharu tiba di kampus Johor Bahru dari Batu Pahat.
Pasukan pengayuh UTM bergambar kenangan sewaktu tiba di kampus Johor Bahru selepas mengharungi perjalanan sejauh 403km dari kampus Kuala Lumpur.

Explore More