April 25, 2024

Search
Close this search box.

Mendengar Amanat Naib Canselor melalui Majlis Bersama Naib Canselor (MBNC) sambil bersantai dalam Tautan Ukhwah Aidilfitri 2022

JOHOR BAHRU, 12 Mei – Warga Universiti Teknologi Malaysia (UTM) diraikan dengan santai tetapi meriah dalam Majlis Bersama Naib Canselor (MBNC) edisi Aidilftri sempena sambutan Hari Raya di Dewan Sultan Iskandar dan Dataran Agora, hari ini.

Pelbagai persediaan telah dilakukan oleh barisan urus setia dan jawatankuasa MBNC bagi memeriahkan sambutan tersebut khas untuk warga universiti dan ianya membuahkan hasil apabila rata-rata tetamu yang hadir meluahkan rasa gembira dan ia ditambah pula dengan keterujaan ke atas sambutan Aidilfitri yang telah dua tahun tidak disambut.

Majlis tersebut bermula santai apabila pengacara majlis, En. Mohamad Jais Bin Mohd Jamil menjemput Timbalan-timbalan Naib Canselor UTM ke atas pentas sebagai gimik ingin beraya di rumah Naib Canselor.

Ianya disambut dengan penuh sorakan apabila Naib Canselor membuka pintu rumah dan menyambut mereka.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail semasa menyampaikan amanat beliau berkata sikap terpuji yang diamalkan oleh warga organisasi merupakan kunci kejayaan utama sesebuah organisasi itu untuk teguh berdiri dan sentiasa kekal relevan dengan keadaan semasa.

Sikap yang dimaksudkan adalah Pengorbanan, Tanggungjawab Kolektif, Sedekah dan Kekitaan.

Pengorbanan bermaksud berkorban tenaga, wang dan masa untuk hasil kerja yang berkualiti serta berserah kepada Allah (tawakal) atas segala yang telah diusahakan.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail semasa menyampaikan amanat beliau pada MBNC 2022 UTM yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar kampus Johor Bahru.

“Tiada kejayaan tanpa pengorbanan dan setiap warga UTM sentiasa perlu untuk berkorban demi organisasi yang kita kasihi ini.

Perlu diterapkan bahawa tenaga, wang dan masa perlu bersedia untuk dikorbankan pada setiap masa tanpa mengharapkan apa-apa balasan bagi menjamin kejayaan organisasi yang dikhidmati,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Bersama Naib Canselor (MBNC) dan Tautan Ukhwah Aidilfitri 2022 di Dewan Sultan Iskandar, kampus UTM Johor Bahru.

Antara pengurusan teritinggi UTM yang hadir di majlis MBNC 2022 yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, kampus Johor Bahru.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Sr Dr Hishamuddin Mohd Ali, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr Rosli Md Illias, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Ts Dr Mohd Hamdan Ahmad dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr Shamsul Sahibuddin.

Menurut Prof. Fauzi lagi, warga UTM juga perlu sentiasa berfikiran terbuka dan mengambil sesuatu tanggungjawab itu secara kolektif khasnya dalam agenda kritikal.

“Sepatutnya tiada sikap tuding menuding jari bagi menyalahkan antara satu dengan yang lainnya. Ambil tanggungjawap secara kolektif, amalkan konsep ‘musyawarah’ iaitu bermesyuarat untuk menyelesaikan masalah.

“Jika ditegur ambil sikap positif untuk memperbaiki kekurangan diri, bekerja secara berkumpulan (sinergi) dan ambil peluang untuk bina kekuatan baharu dalam kumpulan,” katanya lagi.

Sikap suka menuding jari kepada orang lain tidak akan menyelesaikan masalah bahkan akan mengakibatkan perpecahan yang lebih parah dalam organisasi.

“Bekerja secara sinergi antara kumpulan pula menuntut setiap warga kerja untuk mengambil sikap membantu antara satu dengan lainnya seperti memberikan pandangan dan pendapat dalam penyelesaian masalah.

“Ahli kumpulan kerja juga kena sentiasa bersedia untuk memberikan sokongan moral dan membantu terutamanya kepada staf yang baharu berkhidmat,” katanya lagi.

Perpecahan antara ahli boleh mengundang perpecahan serta kehancuran organisasi dan jika dibiarkan akan mengakibatkan organisasi yang dibina bertahun lamanya akan hanya tinggal sejarah.

“Untuk mengelakkan perkara ini terjadi, setiap warga UTM adalah dituntut untuk memupuk semangat kekitaan dan memantapkan ukhwah serta menyemaikan sikap saling memahami dan berempati antara satu dengan lainnya.

“Selain merapatkan jurang penyatuan antara staf, kakitangan juga perlu membudayakan amalan berdoa untuk kejayaan organisasi supaya berkekalan,” katanya lagi.

Program Majlis Bersama Naib Canselor kali ini amat istimewa kerana turut menampilkan acara khas sempena Aidilfitri iaitu Tautan Ukhwah Aidilfitri 2022.

Sempena majlis tersebut pentas dan dewan telah dihias dengan pelbagai props dan backdrop istimewa khas untuk menceriakan lagi sambutan Hari Raya tersebut, termasuk backdrop indah Hari Raya, peletakan kawah dodol, sofa klasik, TV antik, jam dan sebuah vespa yang telah mencuri hati warga UTM untuk mengabadikan kenangan masing-masing.

Selain itu, majlis diteruskan dengan Pelancaran Penjenamaan Semula UTMTTC kepada Centre for Talent and Leadership Development (CTLD), Pelancaran Program High Quality Delivery serta Pelancaran Kamus Kompetensi.

Majlis tersebut turut meraikan staf yang mendapat kenaikan pangkat, dilantik menjadi pentadbir akademik serta penayangan video khas bingkisan Suku Pertama 2022, iaitu UTM Highlights Q1/2022.

Naib Canselor sempat menurunkan tandatangan kepada pembeli buku beliau di salah sebuah booth yang dibuka di Foyer DSI

Usai majlis tersebut, Naib Canselor bersama pengurusan tertinggi universiti beramah mesra bersama warga UTM yang hadir memeriahkan suasana sambutan Aidil Fitri di Dataran Agora.

Sebanyak 18 buah booth mewakili pelbagai Pusat Tanggungjawab termasuk persatuan dan anak syarikat UTM telah disediakan bertempat di Dataran Agora dan setiap booth menyediakan pelbagai juadah untuk warga UTM.

Explore More