Prof Ruzairi dilantik Naib Canselor UTHM yang baharu

PUTRAJAYA, 9 Mei – Dekan Fakulti Kejuruteraan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Ruzairi Abdul Rahim dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang baharu, berkuat kuasa hari ini.

Perlantikan Prof. Ruzairi adalah bagi menggantikan Datuk Prof Dr Wahid Razzaly yang telah tamat tempoh perkhidmatan sebagai Naib Canselor universiti itu pada 14 April 2022 yang lalu.

Menurut kenyataan media Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), pengalaman luas yang dimiliki oleh Prof. Ruzairi mampu melonjakkan UTHM sebagai Universiti Teknousahawan Global (Global Technopreneur University) menjelang 2030.

Prof. Ruzairi juga diyakini berkemampuan untuk menerajui UTHM sebagai salah sebuah universiti awam dalam rangkaian ‘Malaysia Technical University Network’ atau MTUN dengan mengambil kira pengalaman pentadbiran yang luas dan juga reputasi akademik ulung yang dimiliki individu ini.

Mempunyai kepakaran dalam bidang Kejuruteraan Elektronik, Prof. Ruzairi, 55, memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sistem Elektronik dan Kejuruteraan Kawalan dari Sheffield City Polytechnic, United Kingdom pada 1992 seterusnya Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Instrumentasi Kejuruteraan Elektronik dari Sheffield Hellam University, United Kingdom pada tahun 1996.

Berpengalaman luas dalam pentadbiran, Prof. Ruzairi pernah menjawat pelbagai jawatan pentadbir akademik seperti Ketua Makmal Kejuruteraan Instrumentasi, Ketua Jabatan Kawalan dan Instrumentasi Kejuruteraan, Timbalan Dekan (Perkhidmatan Korporat) Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), Pengarah RMC dan Dekan Fakulti Kejuruteraan UTM.

Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTHM untuk tempoh tiga tahun dari 2016 hingga 2019.