November 4, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 19 Mei – Satu kajian tentang khasiat Madu Hijau Borneo telah dijalankan oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi meyakinkan khalayak ramai tentang kualiti dan kesahihan produk ini.

Produk Madu Hijau Borneo berasal dari lebah genus Apis iaitu salah satu sumber asli negeri Sabah dari Pulau Banggi yang terletak di utara Borneo.

Ketua Penyelidik, Prof. Dr Fahrul Zaman Huyop berkata kajian yang dijalankan dengan kerjasama pembekal madu hijau dari Sabah, NS Field Sdn Bhd ini dijalankan bagi memulihkan keyakinan ramai terhadap madu unik ini.

Prof. Dr Fahrul Zaman Huyop menunjukkan produk madu yang dihasilkan oleh kajian beliau

“Kami mahu meyakinkan orang ramai tentang kualiti dan kesahihan produk madu lebah hijau kerana sebelum ini ianya sering dikaitkan dengan pengolahan kandungan untuk keuntungan pihak tertentu.

Kerjasama erat dengan NS Field selama setahun lebih kini telah membuahkan hasil kepada pihak industri,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika di sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Kajian Kerjasama Madu Hijau Borneo dengan NS Field yang berlangsung di Sekolah Kejuruteraan Perubatan dan Sains Kesihatan, UTM kampus Johor Bahru.  Turut hadir adalah Pengarah Urusan NS Field, Carmen Wong.

Prof Fahrul berkata nilai komersil madu itu bergantung kepada warnanya untuk menarik perhatian pembeli di mana yang berwarna cerah seperti kuning keemasan biasanya mendapat lebih perhatian berbanding madu hitam.

“Madu yang berwarna gelap dari segi khasiatnya mampunyai kandungan antioksida yang tinggi yang berupaya memusnahkan radikal bebas dalam tubuh manusia.

“Bagi madu hijau dari Sabah ini pula, ia mempunyai kandungan klorofil yang tinggi dan kaya dengan khasiat luar biasa yang tidak terdapat pada mana-mana madu tempatan seperti Tualang, Gelam dan Kelulut,”katanya lagi.

Pihak UTM juga akan menjalankan kajian metagonomik ‘shotgun’ keatas madu hijau dari Borneo ini dalam masa terdekat dan hasil dapatan dari kajian ini akan dapat meningkatkan pengetahuan berkenaan dengan biodiversiti mikroorganisma dalam madu ini.

“Dapatan kajian ini akan mendedahkan pelbagai jenis mikroorganisma yang wujud beserta proses metabolik yang berlaku dalam komuniti tersebut.

Maklumat yang terhasil ini juga berguna sebagai bahan bacaan pengguna yang kian prihatin dengan kualiti pemakanan mereka di samping meningkatkan populariti industri madu dari negeri Sabah,” katanya lagi.

Prof Fahrul menjalankan kajian berkaitan Madu Hijau ini bersama pasukan penyelidik yang terdiri dari Prof. Madya Dr Roswanira Abdul Wahab dari Jabatan Kimia, Fakulti Sains UTM dan pakar sains makanan darn pemakanan dari UMS, Prof. Madya Dr Nurul Huda serta penyelidik bebas, Dr Amir Husni Shariff pula bergiat dalam memasarkan produk madu lebah hijau itu.

Pasukan penyelidikan madu hijau ini turut dibantu oleh Nanthini Rajindran, pelajar Sarjana Falsafah UTM yang menjalankan penyelidikan ke atas isi kandungan produk semulajadi ini.

Ketua Pasukan Penyelidik khasiat Madu Hijau Borneo, Prof. Dr Fahrul Zaman Huyop (tiga kiri) memberikan penerangan berkenaan khasiat madu hijau borneo dalam sidang media yang diadakan di Sekolah Kejuruteraan Perubatan dan Sains Kesihatan (SKPSK) UTM Johor Bahru.

Explore More