Pemegang Ijazah Perubatan Raih Dua Sarjana Serentak

JOHOR BAHRU, 24 Mei – Seorang Pegawai Perubatan hari ini telah membuktikan bahawa bergraduasi dengan dua Ijazah Sarjana dalam satu masa bukan sesuatu yang mustahil untuk dilakukan tetapi mampu direalisasikan jika seseorang itu sanggup berusaha keras ke arah itu.

Dr Kartik a/l Kaliyanasundaram yang bertugas sebagai Pegawai Perubatan di Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Dungun, Terengganu berjaya menggengam Ijazah Sarjana Kesihatan Awam (MPH) dari Universiti Malaya (UM) dan juga Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari UTM.

Beliau berkata selain kesanggupan untuk berkorban, pengurusan masa yang efektif dan minat yang mendalam ialah kunci utama bagi dirinya dalam  usaha menamatkan pengajian dengan jayanya.

“Sebagai pegawai perubatan sudah semestinya masa saya amat padat dengan kerja-kerja harian tetapi saya langsung tidak menjadikan itu sebagai alasan untuk tidak menyambung pengajian dan berjaya seperti hari ini.

“Cabaran sebenar ketika pengajian adalah ketika pandemik COVID-19 dimana saya ditugaskan untuk menjaga pengurusan kes covid dan juga sebagai Ketua Penyelia pusat kuarantin.  Tidak dinafikan tanggungjawab dan amanah ini adalah sesuatu yang amat berat tetapi bukan alasan untuk saya mengabaikan pelajaran,” katanya lagi.

Bersama penyelia beliau, Dr Rafidah Othman

Dr Kartik berkata demikian ketika diwawancara selepas tamat sesi pengurniaan ijazah di Majlis Konvokesyen ke-65 (MK65) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, kampus Johor Bahru.

Pandemik COVID-19 yang melanda pada tahun 2020 telah menyebabkan pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan institusi pendidikan seperti sekolah dan universiti telah diarahkan ditutup bagi mengawal kadar jangkitan ketika itu.

“Ketika ini saya tidak boleh berjumpa dengan penyelia dan kelas pun dijalankan secara maya.  Apabila sampai waktu kelas sahaja saya terpaksa buka sehingga dua komputer riba bagi mengikuti dua kelas yang berlainan.

Tidak saya nafikan keadaan ini memang membebankan tetapi itulah yang saya lakukan demi menjalankan tanggungjawap sebagai pelajar dan hari ini saya amat bersyukur apabila tamat pengajian,” katanya lagi.

Beliau memulakan pengajian MBA pada bulan Mac dan MPH pada bulan Oktober 2019.  Pengajian MPH banyak berkaitan dengan pengurusan fasiliti kesihatan di peringkat daerah, negeri dan persekutuan manakala MBA pula banyak menyentuh mengenai pengurusan kewangan dan juga strategi perniagaan. 

Ditanya mengenai pandangan dan nasihat kepada pegawai perubatan di luar sana, Dr Kartik berkata pada hari ini ijazah perubatan sahaja tidak mencukupi bagi membolehkan seseorang doktor itu berjaya di dalam kerjayanya.

“Selain ilmu perubatan, anda juga perlu ada pengetahuan mengenai pengurusan kesihatan awam dan jika menceburkan diri di dalam perniagaan pula mesti ada pengetahuan dalam bidang pengurusan kewangan dan juga strategi keusahawanan.

Pengetahuan tambahan ini akan membolehkan anda untuk menjadi lebih dinamik dan berdaya saing serta tidak statik pada satu bidang sahaja,” katanya lagi.