April 23, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 22 Mei – Mantan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Negeri Johor, Datuk Md Jais Sarday mencatat kenangan manis apabila berjaya menggengam segulung Ijazah Sarjana dalam Majlis Konvokesyen ke-65 Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Selain berjaya menamatkan pengajian dan memperolehi Ijazah Sarjana dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia, Md Jais juga berjaya merangkul Anugerah Pelajar Pasca-Siswazah Terbaik kurniaan Sekolah Pengajian Siswazah (SPS) universiti ini.

Beliau yang ditemui selepas menghadiri majlis konvokesyen itu berkata tidak ada syarat khusus untuk seseorang itu mencapai kejayaan asalkan sanggup berusaha ke arah itu.

“Saya tamat pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaya pada tahun 1992 iaitu hampir 28 tahun yang  lalu.

Saya akui bukan mudah untuk kembali semula ke universiti dan menyambung pengajian lebih-lebih lagi pada peringkat Sarjana tetapi saya teruskan juga usaha ini bagi mencari ilmu pengetahuan pada peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Md Jais berkata antara cabaran yang dihadapi ketika belajar adalah mencari bahan rujukan untuk menyiapkan tugasan yang diberikan.

“Saya belajar dalam Mod Campuran iaitu penyelidikan dan juga pembelajaran. Pandemik yang melanda akibat jangkitan Covid-19 telah menyebabkan kami tidak boleh berjumpa penyelia secara bersemuka.

“Di sinilah saya belajar untuk mencari sumber sendiri dan juga menghadiri kelas secara maya.  Belajar dengan cara ini tidak mudah kerana bertentangan dengan kaedah konvensional dan banyak yang tidak dapat diusahakan seperti biasa,” katanya lagi.

Kesukaran ini sememangnya memberikan kekuatan kepada Md Jais dan beliau tekad untuk menghabiskan pengajiannya.

“Cabaran ini sebenarnya telah memberikan kekuatan dan semangat yang mendorong saya untuk terus ‘berjalan’ menghabiskan pengajian seterusnya muncul yang terbaik walaupun dengan usia yang telah meningkat,” katanya lagi.

Md Jais juga sempat memberikan kata nasihat kepada  mahasiswa yang masih menuntut agar tidak mudah berputus asa dengan kesukaran yang dihadapi kerana itu sebenarnya permulaan kepada kehidupan sebenar sebagai seorang pemimpin.

“Jangan mudah berputus asa kerana anda bakal dilantik sebagai pemimpin di organisasi anda satu hari kelak.

“Sebagai pemimpin anda akan diminta untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang semestinya menuntut seseorang ketua itu supaya berfikiran kreatif dan inovatif dalam mencari jalan penyelesaian dan tidak berputus asa,” katanya lagi.

Mengulas mengenai bidang yang dipelajarinya, Md Jais berkata Pembangunan Sumber Manusia atau HRD adalah satu lapangan yang dinamik dan sememangnya diperlukan bagi pembangunan negara yang holistik.

“Selama dua tahun mendalami bidang ini saya mendapati lapangan HRD ini amat berkait rapat dengan kaedah untuk membangunkan modal insan yang berkualiti bagi mencapai matlamat organisasi.

HRD ialah bidang yang amat dinamik terutamanya dalam konsep pembangunan negara dan ia amat berkait rapat dengan pembangunan ekonomi, sosial dan juga kebudayaan dalam sesebuah negara itu,” katanya.

Menurutnya dalam sistem ekonomi global yang serba mencabar pada hari ini juga menuntut pengwujudan sumber manusia yang berkualiti bagi membolehkan sesebuah negara itu dapat bertahan dan juga melestarikan ekonominya.

“Ini tidak dapat disangkal kerana sumber manusia yang berkualiti dapat memajukan ekonomi dan memperkasakan kedudukan sesebuah negara itu.

Realiti ini juga jelas menunjukkan bahawa kita tidak lagi boleh bergantung kepada pembangunan fizikal semata-mata dengan mengabaikan usaha melahirkan modal insan yang berkualiti,” katanya lagi.

Datuk Md Jais Sarday (kiri) bersama isteri, Datin Ruzita Kimin ketika menghadiri Konvokesyen UTM ke-65 yang berlangsung di kampus Johor Bahru

Explore More